KUALA LUMPUR 19 Feb - Autocount Dotcom Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Auto Count Sdn Bhd, melancarkan AutoCount OneSales PalmPOS, satu sistem jualan mudah alih (Mobile POS) yang direka khas untuk memudahkan penggunaan e-invois oleh perusahaan mikro, kecil & sederhana (PMKS).
Sistem itu membantu perniagaan yang belum biasa dengan teknologi digital, kos tinggi untuk teknologi baharu, serta gangguan yang berlaku semasa menggunakan sistem e-invois secara manual.
PalmPOS ditawarkan pada harga RM49 sebulan, menjadikannya rumusan yang murah dan mudah digunakan bagi PMKS yang ingin beralih ke arah digital.
Sistem tersebut memudahkan perniagaan untuk menghantar e-invois terus ke LHDN dengan hanya beberapa sentuhan.
Pengarah Urusan AutoCount Dotcom Berhad, YT Choo berkata, AutoCount OneSales PalmPOS direka bagi memudahkan perniagaan kecil menyesuaikan diri dengan e-invois.
"Dengan e-invois yang akan diwajibkan tidak lama lagi, banyak PMKS berdepan masalah untuk beralih dari sistem manual kepada sistem digital.
"PalmPOS direka untuk memudahkan peralihan ini agar perniagaan dapat mematuhi undang-undang sambil meningkatkan kecekapan dan ketepatan," katanya dalam satu kenyataan.
PalmPOS juga memudahkan rakaman transaksi secara automatik dengan e-wallet terkemuka seperti Boost dan akan menyokong lebih banyak e-wallet dan bank pada masa depan.
Sistem berkenaan juga memberi pemberitahuan pembayaran secara langsung dan merekodkan jualan secara automatik, menjimatkan masa perniagaan daripada perlu memasukkan data secara manual.
PalmPOS boleh digunakan di mana sahaja, sama ada di luar atau dalam premis perniagaan, hanya menggunakan peranti Android.
Bagi perniagaan yang memerlukan resit bercetak, PalmPOS juga menyokong peranti tambahan yang boleh ditambah mengikut keperluan.
Sistem itu datang dengan lebih 500 templat perniagaan yang boleh digunakan dengan mudah, menjadikannya lebih cepat untuk disediakan.
Pelancaran PalmPOS adalah sebahagian daripada usaha AutoCount untuk membantu PMKS di Malaysia agar lebih bersedia untuk menyambut peralihan digital.
Dengan integrasi PalmPOS bersama AutoCount Cloud Accounting, perniagaan kecil boleh menjimatkan masa, mengurangkan kesilapan dan membuat laporan kewangan dengan lebih mudah. - DagangNews.com








