ATM bakal terima 263 aset mobiliti tinggi dikenali Tedung dan Kala | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ATM bakal terima 263 aset mobiliti tinggi dikenali Tedung dan Kala

Tedung merupakan platform Kenderaan Mobiliti Tinggi berasaskan Agrale Marruá AM250 Double Cab dari Brazil. - Gambar/Agrale
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 2 Sept - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal menerima 263 unit aset mobiliti tinggi baharu dengan nilai keseluruhan kontrak RM164.91 juta bagi memperkukuh keupayaan pergerakan taktikal serta tinjauan, merentas pelbagai medan operasi.

 

Perolehan itu membabitkan 163 Kenderaan Mobiliti Tinggi yang dinamakan  Tedung dan 100 unit Kenderaan Tinjau Mobiliti Tinggi dikenali Kala.  

 

Menurut hantaran di Facebook ATM, majlis pelancaran aset berkenaan disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini.

 

 

 

 

Tedung merupakan platform Kenderaan Mobiliti Tinggi berasaskan Agrale Marruá AM250 Double Cab yang dibangunkan untuk menawarkan ketahanan, fleksibiliti dan kebolehgerakan dalam pelbagai persekitaran operasi.

 

Sebanyak 163 unit TEDUNG akan dibekalkan, terdiri daripada 80 unit Kenderaan Pembawa Senjata (KPS) AGL dan 83 unit KPS HMG, dengan nilai keseluruhan kontrak RM92.91 juta.

 

Tedung dikuasakan enjin diesel Cummins F3.8 Intercooled Turbo yang menghasilkan kuasa maksimum 170 cv (125 kW) dan tork 600 Nm, selain dilengkapi sistem pacuan 4×4 sepenuh masa. 

 

Kenderaan ini turut mempunyai kelegaan tanah 350 milimeter, sudut tuju 58 darjah serta keupayaan mendaki sehingga 60 peratus di jalan berturap dan 40 peratus di medan rentas desa.

 

Tedung 1
Majlis penamaan Tedung dan Kala disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini. - Gambar/Facebook ATM

 

Sementara itu, Kala ialah Kenderaan Tinjau Mobiliti Tinggi (High Mobility Reconnaissance Vehicle - HMRV) yang dibangunkan bagi menyediakan mobiliti taktikal, ketangkasan dan keupayaan merentas pelbagai medan untuk menyokong pelbagai keperluan operasi.

 

Sebanyak 100 unit KALA akan dibekalkan menerusi kontrak bernilai RM72 juta. 

 

Kala dikuasakan enjin Rotax 900cc ACE Turbocharged berkuasa sehingga 200 HP serta dilengkapi sistem pacuan 2WD/4WD, front differential lock dan suspensi cross-country.

 

Kala turut mempunyai kelegaan tanah 330 milimeter dan mampu mengharungi air sedalam 500 milimeter, melepasi halangan menegak setinggi 300 milimeter serta merentasi parit selebar 500 milimeter. 

 

Kenderaan ini mempunyai kapasiti membawa seorang pemandu bersama tiga anggota lengkap.

 

 

 

 

 

 

Perolehan kedua-dua aset itu turut membolehkan Tedung dikonfigurasikan kepada pelbagai varian mengikut keperluan misi, antaranya KPS, Fitted for Radio (FFR), Kenderaan Penarik Meriam (KPM) dan Command Vehicle.

 

Langkah itu mencerminkan usaha berterusan ATM memperkukuh keupayaan aset dan kesiapsiagaan bagi memenuhi keperluan operasi semasa serta masa hadapan. - DagangNews.com