ATM bakal guna helikopter AW149 menerusi perjanjian Leonardo-Weststar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ATM bakal guna helikopter AW149 menerusi perjanjian Leonardo-Weststar

Gambar: Leonardo Helicopters

KUALA LUMPUR 21 Mei - Leonardo Helicopters akan membekalkan sehingga 28 helikopter baharu bagi menyokong misi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi kerajaan.

 

Perjanjian yang diumumkan semasa Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA 2025) yang menyaksikan Weststar Aviation Services, akan menyewa helikopter-helikopter tersebut selama tempoh 15 tahun.

 

“Weststar menjangkakan penghantaran sehingga 28 helikopter pelbagai jenis, yang terdiri daripada pesanan pasti dan pilihan.

 

 

 

"Sebahagian besar penghantaran dijangka berlaku antara 2026 dan 2027," kata syarikat aeroangkasa dari Eropah itu.

 

Leonardo mendedahkan, perjanjian tersebut merangkumi pengenalan model AW149 oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Darat Malaysia. 

 

Ini merupakan kejayaan ketenteraan kedua bagi model bersaiz sederhana berkembar itu di rantau Asia-Pasifik, selepas Tentera Darat Diraja Thailand yang telah mengoperasikan lima unit.

 

Helikopter tersebut akan digunakan dalam peranan utiliti dan misi pencarian serta penyelamatan tempur, tambah syarikat itu.

 

Tanpa memperincikan model-model yang terlibat, Leonardo menyatakan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat akan menggunakan helikopternya untuk “penguatkuasaan undang-undang, utiliti, pengangkutan, pemadaman kebakaran, perkhidmatan perubatan kecemasan/pencarian dan penyelamatan (EMS/SAR), serta misi bantuan bencana”.

 

Syarikat itu menggambarkan komitmen Kuala Lumpur ini sebagai “program pengembangan dan pemodenan armada helikopter kerajaan yang paling signifikan” yang pernah diperoleh syarikat tersebut di negara ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Leonardo Helicopters, Gian Piero Cutillo berkata, Malaysia akan terus menjadi hab penting kepada mereka untuk terus berkhidmat kepada negara dan rantau ini secara meluas.

 

Katanya, lebih 240 unit produk mereka sedang digunakan lebih 70 pengendali di Malaysia, dengan armada tersebut mencatatkan lebih 40,000 jam penerbangan setiap tahun.

 

“Leonardo kini bersedia untuk mengembangkan aktiviti industri tempatan di Malaysia dengan keupayaan simulasi dan latihan canggih yang baharu, termasuk simulator penerbangan penuh tambahan dan pelatih interaktif untuk operasi helikopter,” katanya.

 

Syarikat itu juga merancang untuk meningkatkan atau memperkenalkan kemudahan MRO (penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih) di Malaysia untuk pembaikan bilah, penyelenggaraan sistem elektronik dan integrasi sistem misi.

 

Weststar merupakan pengendali jangka panjang bagi model AW189, versi awam kepada AW149 yang berkelas super-medium-twin. - DagangNews.com