ASNB umum agihan pendapatan RM423 juta bagi ASB 3 Didik pada FY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ASNB umum agihan pendapatan RM423 juta bagi ASB 3 Didik pada FY25

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 30 Jun – Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), mengumumkan agihan pendapatan RM423 juta bagi dana harga tetap Amanah Saham Bumiputera 3 Didik (ASB 3 Didik) untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025.

 

PNB berkata, agihan pendapatan itu bersamaan 5.25 sen seunit kepada 338,320 pemegang unit yang memiliki sebanyak 8.12 bilion unit.

 

"Agihan pendapatan ASB 3 Didik memberikan pulangan keseluruhan 5.25%, mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12 Bulan Maybank sebanyak 2.51% dengan kelebihan 274 mata asas," katanya dalam satu kenyataan.

 

asnb

 

Setakat 19 Jun 2025, ASB 3 Didik mencatat pendapatan direalisasi bersih RM539.1 juta.

 

Dana itu berjaya mengekalkan pengagihan dividen 5.25 sen seperti tahun sebelumnya walaupun berdepan cabaran yang besar susulan ketidaktentuan ekonomi global dan pasaran modal akibat perubahan dasar perdagangan Amerika Syarikat serta ketegangan geopolitik yang meningkat.

 

Pencapaian itu menyerlahkan komitmen PNB dalam menyokong matlamat kewangan jangka panjang pelabur bumiputera melalui pengurusan pelaburan yang berdisiplin dan proaktif.

 

pnb

 

PNB turut menjelaskan bagi menjamin kestabilan pendapatan, dana itu telah mempelbagaikan pelaburan ke dalam aset pendapatan tetap global, bagi memastikan aliran pendapatan yang stabil dan boleh dipercayai, khususnya untuk memenuhi keperluan pelabur muda serta pelabur setia.

 

asnb

 

Malahan, semua urus niaga ASB 3 Didik di cawangan ASNB dan ejen termasuk saluran dalam talian serta perbankan internet digantung sementara dari 27 hingga 30 Jun 2025 bagi tujuan pengiraan agihan pendapatan.- DagangNews.com