Asia Poly bekal bahan kimia khusus bagi industri cat kepada Sumitomo dari Singapura | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Asia Poly bekal bahan kimia khusus bagi industri cat kepada Sumitomo dari Singapura

Gambar/Asia Poly Holdings Bhd
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 13 Mac - EcoGreen Monomer Sdn Bhd, yang dimiliki 35% oleh Asia Poly Holdings Bhd, menandatangani perjanjian dengan Sumitomo Corp Asia & Oceania Pte Ltd (SCAO) untuk membekalkan bahan kimia depolymerized methyl methacrylate monomer (DMMA) kepada SCAO, yang akan digunakan dalam industri cat dan gam.

 

SCAO merupakan penyedia rumusan perdagangan dan pelaburan bersepadu terkemuka. 

 

Ia juga merupakan anak syarikat Kumpulan Sumitomo Corporation, sebuah konglomerat multinasional yang tersenarai dalam Fortune Global 500 dan terlibat dalam pelbagai sektor perniagaan.

 

Melalui MoU itu, Sumitomo akan membeli sekurang-kurangnya 2,000 tan DMMA sebulan daripada EcoGreen.

 

DMMA tersebut akan dibungkus dalam tangki ISO dengan kapasiti 22 tan setiap satu.

 

Harga setiap unit akan tertakluk kepada penanda aras industri global MMA yang dikemas kini setiap minggu.

 

Sumitomo bercadang untuk menjual dan memasarkan DMMA dari EcoGreen ke negara-negara Eropah, Amerika Syarikat, Jepun, Vietnam, Thailand, Indonesia dan India.

 

Terma MoU bersebut akan berkuat kuasa dalam tempoh satu bulan dari tarikh tandatangan. 

 

Perjanjian pengedaran akan dimeterai setelah kedua-dua pihak bersetuju dengan terma dan syarat yang ditetapkan.

 

Selain DMMA, MoU berkenaan turut merangkumi jualan dan pemasaran pelbagai produk kimia untuk Sumitomo Shojo Chemicals Co Ltd, anak syarikat Sumitomo Corp, Jepun.

 

DMMA adalah bahan mentah mesra alam yang digunakan dalam pembuatan plastik akrilik, yang dihasilkan melalui kitar semula produk akrilik terpakai atau sisa akrilik. 

 

Ia berbeza dengan MMA, yang merupakan bahan mentah yang diperoleh daripada proses petrokimia. - DagangNews.com