Aset-aset di lokasi premium sandaran utama IGB Commercial REIT tarik minat penyewa baharu - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aset-aset di lokasi premium sandaran utama IGB Commercial REIT tarik minat penyewa baharu - RHB Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Okt - Lambakan bekalan dalam pasaran ruang pejabat dijangka tidak menjejaskan prospek IGB Commercial REIT didorong kekuatan aset-asetnya di lokasi premium yang dilihat mampu untuk terus menarik minat penyewa baharu.

 

RHB Research berkata, keputusan suku ketiga tahun kewangan 2025 (3QFY25), kumpulan itu mengekalkan pertumbuhan hasil yang stabil serta margin pendapatan bersih (NPI) yang kukuh – mencerminkan kualiti tinggi aset-aset di Mid Valley City.

 

Katanya, prestasi kukuh itu turut disokong peningkatan kadar penghunian keseluruhan portfolio kepada 92%, berbanding 87% pada tempoh yang sama tahun lalu, sebahagian besarnya disumbangkan oleh kemasukan penyewa baharu di aset-aset dalam Kuala Lumpur City (KL City).

 

“Walaupun pasaran pejabat secara umum kekal mencabar, aset IGB Commercial REIT di lokasi utama terus menerima permintaan kukuh daripada penyewa korporat, manakala aset di pusat bandar Kuala Lumpur menunjukkan peningkatan beransur-ansur dari segi kadar penghunian,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, IGB Commercial REIT yang memfokuskan kepada aset komersial dengan portfolio merangkumi Menara IGB, GTower dan Menara Tan & Tan mencatat peningkatan 11.84% dalam pendapatan bersih harta (NPI) kepada RM37.64 juta berbanding RM33.66 juta sebelumnya, manakala hasil meningkat 11.56% kepada RM64.2 juta daripada RM57.55 juta.

 

Pendapatan boleh agihnya berjumlah RM26.13 juta, meningkat 14% daripada RM22.92 juta, yang turut merangkumi pelarasan bukan tunai sebanyak RM2.8 juta daripada perubahan nilai saksama serta RM2.2 juta dalam yuran pengurusan yang dibayar dalam bentuk unit.

 

Firma penyelidikan itu berkata, antara aset utama yang mengekalkan prestasi cemerlang ialah Southpoint Tower dengan kadar penghunian 100%, manakala GTower turut mencatat peningkatan kepada 88% berbanding 83% sebelum ini.

 

Ia turut menjangkakan prospek kekal positif menjelang tahun kewangan 2026, dengan tumpuan untuk menarik lebih banyak penyewa daripada kalangan syarikat multinasional bagi meningkatkan lagi kadar penghunian.

 

Tambahan pula, kerja-kerja penambahbaikan aset sedang dijalankan melibatkan naik taraf sistem keselamatan CCTV, lif, kalis air bumbung, serta penyediaan ruang pejabat yang lebih moden – langkah yang dijangka dapat menambah daya tarikan jangka panjang kepada penyewa.

 

"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) 61 sen sesaham," katanya.- DagangNews.com