KUALA LUMPUR 28 Feb - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan ARM Holdings Plc, sebuah syarikat semikonduktor terkemuka dari United Kingdom, dijangka memterai perjanjian bagi menubuhkan pangkalan di Malaysia pada minggu depan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau telah berbincang dalam talian dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ARM pagi ini.
Beliau berkata, Ketua Pegawai Eksekutif Softbank Group Corp, Masayoshi Son turut mengambil bahagian dalam perbincangan itu.
SoftBank ialah syarikat pemegangan pelaburan terkemuka Jepun.
“Insya-Allah kita akan memuktamadkan perjanjian itu pada minggu depan,” katanya selepas melancarkan Majlis Penempatan Logo Malaysia MADANI di rangkaian Restoran Nasi Kandar Putrajaya, hari ini.
Terdahulu, ketika berucap selepas solat Jumaat di Masjid Sekolah Sultan Alam Shah, Anwar berkata, ARM antara yang terbaik di dunia dari segi reka bentuk dan pembuatan semikonduktor.
“ARM telah memilih untuk bertapak di Malaysia, Alhamdulillah,” katanya.
Sementara itu, Anwar menekankan pelaburan seperti itu hanya boleh dilakukan kerana Malaysia mempunyai kestabilan politik dan dasar ekonomi yang jelas.

Bagaimanapun, beliau mengakui kedatangan pelaburan sedemikian juga memberi cabaran kepada negara dalam memastikan bekalan tenaga kerja profesional muda yang mencukupi.
"Ini adalah ujian utama, bolehkah kami menyediakan puluhan ribu profesional muda?
"Ini adalah cabaran untuk belia. Tenaga kerja profesional adalah penting apabila kami menarik pelaburan yang besar," katanya.
ARM Holdings Plc ialah syarikat semikonduktor dan reka bentuk perisian berpangkalan di Cambridge, United Kingdom.
Perniagaan utamanya ialah mereka bentuk seni bina unit pemprosesan pusat (CPU) yang melaksanakan set arahan ARM.- DagangNews.com








