ARK Resources, Premium Flame Development bina projek kediaman RM26 juta di Pulau Pinang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ARK Resources, Premium Flame Development bina projek kediaman RM26 juta di Pulau Pinang

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Nov – ARK Resources Holdings Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, ARK Resources Berhad (ARB), telah menandatangani perjanjian usaha sama dengan Premium Flame Development Sdn Bhd (PFDSB) untuk membangunkan sebuah projek kediaman di Pulau Pinang.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ARK Resources berkata, projek itu melibatkan pembangunan kira-kira 500 unit kediaman dengan kos pembangunan dianggarkan sebanyak RM226 juta dan nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM275 juta. 

 

“Projek tersebut dijangka bermula pada suku kedua 2026 dan dijangka siap dalam tempoh 48 bulan,” katanya.

 

ARB yang ditubuhkan pada 1996 terlibat dalam pembangunan hartanah, pembinaan awam dan bangunan, kerja kejuruteraan, serta perkhidmatan pengurusan. 

 

PFDSB pula yang ditubuhkan pada 1996, merupakan syarikat pembangunan hartanah dan penyedia sistem pengurusan tenaga untuk bangunan komersial dan pejabat.

 

Menurut ARK Holdings, dana bagi penyertaan dalam usaha sama ini akan diperoleh melalui gabungan dana dalaman, pinjaman bank atau pengumpulan ekuiti, bergantung kepada keadaan pasaran dan ekonomi.

 

“Projek usaha sama ini dijangka memperkukuhkan lagi perniagaan teras syarikat dalam pembangunan hartanah dan menyumbang secara positif terhadap prestasi kewangan Kumpulan pada masa hadapan,” katanya.

 

Bagaimanapun, syarikat turut berhati-hati dengan beberapa risiko termasuk kemungkinan kelewatan permulaan dan pelaksanaan projek, turun naik kos bahan mentah, tenaga kerja, perubahan keadaan ekonomi, serta kelulusan daripada pihak berkuasa yang berkaitan.

 

ARK Holdings berkata, langkah-langkah berhemah dan pemantauan rapi akan dijalankan untuk menghadapi semua risiko tersebut.

 

“Usaha sama ini tidak akan memberi kesan terhadap modal saham, pegangan pemegang saham utama, pendapatan sesaham dan aset bersih sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026, tetapi dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan Kumpulan pada masa hadapan.

 

“Tiada pengarah atau pemegang saham utama ARK Holdings mempunyai kepentingan dalam usaha sama ini, tidak memerlukan kelulusan pemegang saham, tetapi tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa yang berkaitan untuk pembangunan projek,” katanya. - DagangNews.com