Aquawalk Group IPO terlebih langgan 6.2 kali, raih sambutan hangat pelabur menjelang penyenaraian di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aquawalk Group IPO terlebih langgan 6.2 kali, raih sambutan hangat pelabur menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 11 NovAquawalk Group Berhad, pemaju dan pengendali beberapa akuarium bertaraf dunia termasuk Aquaria KLCC, meraih sambutan luar biasa daripada pelabur apabila tawaran awam permulaannya (IPO) terlebih langgan sebanyak 6.2 kali, mendahului penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada 19 November 2025.

 


Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, IPO Aquawalk melibatkan terbitan awam sebanyak 368.6 juta saham baharu pada harga terbitan RM0.33 sesaham, mewakili 20% daripada modal saham diperbesarkan selepas penyenaraian. 

 

Langkah itu dijangka menjana hasil sebanyak RM121.6 juta, meningkat daripada anggaran awal RM114.3 juta.

 


Selain itu, terdapat juga penjualan 368.6 juta saham sedia ada yang turut mewakili 20.0% daripada modal saham selepas IPO melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

 


Bagi 92.2 juta saham yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, Aquawalk menerima sebanyak 9,875 permohonan melibatkan 758.4 juta saham bernilai kira-kira RM250 juta, menjadikan kadar terlebih langgan keseluruhan 6.2 kali.

 


Untuk bahagian Bumiputera, 5,500 permohonan bagi 360 juta saham diterima (terlebih langgan 7.3 kali), manakala bagi bahagian awam, 4,375 permohonan bagi 398.4 juta saham diterima (terlebih langgan 8.6 kali).

 


Sementara itu, 4.7 juta saham yang diperuntukkan kepada pengarah, pekerja serta individu yang menyumbang kepada kejayaan Kumpulan telah dilanggan sepenuhnya.

 


Kesemua 271.8 juta saham terbitan dan 368.6 juta saham tawaran melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih serta 230.4 juta saham Bumiputera yang diluluskan MITI juga telah ditempatkan sepenuhnya.

 


Notis peruntukan akan dihantar kepada semua pemohon yang berjaya pada 18 November 2025, menurut kenyataan itu. - DagangNews.com