Ancom Nylex sertai konsortium projek rel ringan Iskandar Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ancom Nylex sertai konsortium projek rel ringan Iskandar Malaysia

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 11 Mei - Ancom Nylex Berhad mengumumkan anak syarikat miliknya sebanyak 42.2%, Nylex (Malaysia) Berhad menerima Surat Niat (LOI) daripada Kerajaan Malaysia bagi cadangan projek pembangunan pengangkutan awam darat di Iskandar Malaysia.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, LOI bertarikh 5 Mei 2026 tersebut dikeluarkan menerusi Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri.

 

Menurut syarikat, kerajaan telah memberikan kelulusan secara prinsip kepada konsortium yang terdiri daripada DOM Industries (M) Sdn. Bhd., MMC Engineering Sdn. Bhd., BTS Group Holdings Public Company Limited dan Nylex untuk melaksanakan projek berkenaan.

 

Cadangan projek itu melibatkan pembangunan sistem rel berkapasiti sederhana di bawah model kerjasama awam-swasta (PPP) bagi Wilayah Iskandar Malaysia.

 

Ancom Nylex berkata, konsortium tersebut akan memulakan rundingan lanjut dengan kerajaan berhubung terma dan syarat pelaksanaan projek.

 

“Pelaksanaan cadangan projek ini tertakluk kepada pemeteraian dan pemuktamadan perjanjian muktamad bersama kerajaan,” katanya.

 

Syarikat itu turut memaklumkan akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat perkembangan material berkaitan projek tersebut selaras dengan Keperluan Penyenaraian Bursa Malaysia. - DagangNews.com