Anak syarikat TDM di Indonesia bersetuju penyelesaian RM49.3 juta berhubung insiden kebakaran ladang pada 2019 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Anak syarikat TDM di Indonesia bersetuju penyelesaian RM49.3 juta berhubung insiden kebakaran ladang pada 2019

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Julai - Anak syarikat TDM Bhd di Indonesia, PT Rafi Kamajaya Abadi (PTRKA) telah memeterai perjanjian penyelesaian dengan Kementerian Lingkungan Hidup dan Kehutanan (KLH) Indonesia bagi menyelesaikan pertikaian undang-undang yang telah lama berlarutan berkaitan insiden kebakaran di ladangnya di Kalimantan pada tahun 2019.

 

TDM berkata, PTRKA telah menandatangani perjanjian bersama (Kesepakatan Bersama) pada 8 Julai bagi mematuhi secara sukarela keputusan Mahkamah Agung Indonesia, termasuk membayar penalti tunai sebanyak 188.98 bilion rupiah (anggaran RM49.3 juta) selewat-lewatnya pada 30 September 2025, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Sebagai sebahagian daripada penyelesaian tersebut, PTRKA juga akan mengemukakan pelan pemulihan tiga tahun kepada KLH dalam tempoh 90 hari, merangkumi perancangan pemulihan ke atas 2,560 hektar tanah yang terjejas akibat kebakaran.

 

TDM berkata, setelah bayaran tersebut diselesaikan, KLH akan membenarkan pengaktifan semula Sistem Administrasi Badan Hukum (SABH) PTRKA, sekali gus mengembalikan status perniagaan sah anak syarikat tersebut di Indonesia.

 

Kumpulan perladangan itu memberi jaminan,penyelesaian ini tidak akan memberi kesan buruk kepada operasi PTRKA atau prestasi kewangan TDM bagi tahun kewangan semasa.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah Agung Indonesia arah anak syarikat TDM bayar ganti rugi RM56.68 juta atas tuduhan pembakaran hutan

 

Terdahulu, dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia 3 November 2023, PTRKA diarahkan Mahkamah Agung Republik Indonesia untuk membayar ganti rugi sebanyak RM56.6 juta kepada KLH atas tuduhan pembakaran hutan di Kalimantan.

 

Selain ganti rugi RM56.6 juta, PTRKA juga akan perlu mengeluarkan sejumlah 731.04 bilion rupiah (RM219.25 juta) untuk kerja-kerja pemulihan alam sekitar di kawasan yang terjejas seluas 2,560 hektar dan untuk mengaktifkan semula sistem ekologi yang terjejas.

 

Ini setelah rayuan berkenaan kerja-kerja pemulihan juga ditolak Mahkamah Agung Indonesia. 

 

Sebelum ini, kumpulan itu dan pemegang saham minoriti mencadangkan pelupusan keseluruhan kepentingan ekuiti mereka dalam PTRKA dan PT Sawit Rezeki Abadi (SRA) kepada Ikhasas Sawit Sdn Bhd, sebuah pihak yang dicadangkan oleh Ikhasas CPO Sdn Bhd pada harga RM115 juta. - DagangNews.com