KUALA LUMPUR 27 Mac - Anak syarikat milik penuh Nestcon Bhd, Nestcon Builders Sdn Bhd, memperoleh kontrak pembinaan bernilai RM228.30 juta daripada Paramount Property (Cityview) Sdn Bhd.
Nestcon Builders berkata, projek yang terletak di Jalan Ampang Hilir, Kuala Lumpur itu, melibatkan pembinaan sebuah menara kondominium setinggi 49 tingkat dan sebuah blok kondominium tujuh tingkat.
"Kontrak ini dijadualkan berlangsung selama 37 bulan, dengan kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada 29 April 2025 dan dijangka siap pada 28 Mei 2028," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Tambahnya, tempoh liabiliti kecacatan untuk projek berkenaan akan dilanjutkan selama 27 bulan dari tarikh Sijil Siap Kerja Praktikal dikeluarkan.
Nestcon Builders berkata, kontrak itu akan memberi kesan positif kepada aset bersih setiap saham, pendapatan setiap saham dan nisbah hutang syarikat.
Nestcon Builders terlibat dalam perkhidmatan pembinaan, manakala Paramount Property memberi tumpuan kepada pembangunan kediaman. - DagangNews.com








