KUALA LUMPUR 11 Julai - Ho Hup Construction Company Bhd menerima petisyen gulung tikar daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung tunggakan cukai berjumlah RM23.72 juta.
Petisyen tersebut dikeluarkan kepada anak syarikat milik penuh Ho Hup, iaitu Bukit Jalil Development Sdn Bhd (BJD), menurut satu makluman Ho Hup kepada Bursa Malaysia.
Kumpulan itu berkata, BJD tidak dapat memenuhi kewajipan cukainya bagi tahun taksiran 2019 dalam tempoh masa yang ditetapkan disebabkan kekangan aliran tunai yang berpanjangan.
Ho Hup berkata, BJD tidak dianggap sebagai anak syarikat utama. Syarikat itu mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM33.33 juta, berbanding kerugian RM84.47 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.
Jumlah pelaburan kumpulan dalam BJD adalah sebanyak RM15 juta.
Ho Hup berkata, BJD telah diletakkan di bawah pembubaran secara sukarela oleh pemiutang pada 23 Mei lalu, dengan Baker Tilly Insolvency PLT disahkan sebagai pelikuidasi dalam mesyuarat pemiutang pada 13 Jun 2025.
Sehubungan itu, Ho Hup berkata petisyen penggulungan yang difailkan LHDN dijangka tidak memberi sebarang impak kewangan atau operasi kepada kumpulan, memandangkan BJD telah menghentikan operasinya dan tidak lagi menjadi sebahagian daripada aktiviti perniagaan teras kumpulan.
Ho Hup jatuh ke status Nota Amalan 17 (PN17) pada April 2025 selepas BJD gagal membayar kemudahan pinjaman berjumlah RM112.69 juta, di mana Ho Hup bertindak sebagai penjamin.
Syarikat itu telah mencatatkan kerugian selama empat tahun berturut-turut sejak 2021. - DagangNews.com








