KUALA LUMPUR 1 Ogos – Reviva BACRE (Ulu Remis) Sdn Bhd, syarikat milik tidak langsung Cypark Resources Bhd, telah menerima kelulusan daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) untuk membangunkan kemudahan biogas berkapasiti 1.5MW di Layang-Layang, Johor.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Cypark memberitahu bahawa kelulusan tersebut diperoleh di bawah program e-bidaan Feed-in Tariff (FiT) 2025 yang dikendalikan oleh SEDA.
Projek tersebut, yang mempunyai kapasiti eksport bersih sebanyak 1.3MW, dijadualkan siap sepenuhnya pada 25 Julai 2028.
Setelah mula beroperasi, ia akan membekalkan tenaga elektrik boleh diperbaharui kepada grid nasional selama 21 tahun di bawah mekanisme FiT.

“Projek ini menandakan satu lagi langkah bermakna dalam perjalanan Cypark untuk menjadi rakan tenaga boleh diperbaharui yang paling dipercayai dan bersepadu di Malaysia.
"Kami terus memperkukuh komitmen untuk menyediakan penyelesaian tenaga bersih yang menyokong agenda peralihan tenaga dan ekonomi kitaran negara,” kata Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Ami Moris dalam satu kenyataan.
Cypark turut memaklumkan bahawa walaupun projek ini tidak dijangka memberi impak ketara kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2026, ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan sebaik sahaja ia mula beroperasi. - DagangNews.com








