AmInvestment semak turun unjuran pendapatan Gamuda antara 2% hingga 7% pada FY26-FY27 kesan sekatan eksport cip AI bagi pusat data | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AmInvestment semak turun unjuran pendapatan Gamuda antara 2% hingga 7% pada FY26-FY27 kesan sekatan eksport cip AI bagi pusat data

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Jan - AmInvestment Bank Research menyemak turun unjuran pendapatan Gamuda Bhd antara 2% hingga 7% bagi FY26 dan FY27 kesan daripada sekatan Amerika Syarikat (AS) terhadap cip kecerdasan buatan (AI) bagi kegunaan pusat data.

 

Walaupun firma penyelidikan itu percaya, kumpulan itu tidak akan berdepan sebarang risiko pembatalan projek pusat data sedia ada kerana pelanggannya bukan daripada syarikat dari China.

 

Bagaimanapun, mereka bimbang terhadap prospek Gamuda dalam segmen pusat data pada FY26 hingga FY27.  

 

"Oleh itu kami menyemak semula andaian penambahan buku pesanan Gamuda daripada projek pusat data sebanyak 60%, menjadikan nilai masing-masing kepada RM22.5 bilion dan RM18.7 bilion pada FY26 dan FY27.

 

"Sejajar dengan itu, ia akan menyebabkan penurunan pendapatan sebanyak 2% hingga 7%. Sebagai rujukan, projek pusat data pada masa ini menyumbang 8.3% (atau RM2.5 bilion) daripada jumlah buku pesanan kumpulan pada 1QFY25," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, pengurusan kumpulan mula meningkatkan operasi pusat data kepada lapan pasukan yang boleh menampung kerja bernilai sehingga RM16 bilion yang dipercayai akan menjadi penting kerana kekurangan keterlihatan terhadap projek infrastruktur awam baharu di Malaysia.

 

Kerajaan AS mengeluarkan peraturan akhir mengenai penyebaran AI dengan sekatan baharu ke atas eksport cip AI.

 

Negara dibahagikan kepada tiga peringkat, rangka kerja menggariskan akses yang berbeza-beza kepada cip AI dan had ketat untuk pembelian unit pemprosesan grafik (GPU) untuk setiap kategori.

 

Malaysia bersama-sama dengan majoriti negara berada di bawah sekatan peringkat kedua, yang menetapkan tahap maksimum kuasa pengkomputeran yang boleh pergi ke mana-mana negara - bersamaan dengan kira-kira 50,000 unit pemprosesan grafik (GPU) bersamaan H100, dari 2025 hingga 2027.

 

AmInvestment berkata, tanpa pemangkin pusat data, peningkatan daripada penarafan semula sektor kini kelihatan terhad. 

 

"Oleh itu, kami menyemak nisbah harga kepada pendapatan (PER) sasaran kami untuk segmen pembinaan kepada 16x (berbanding 22x sebelumnya).

 

"Kami menyemak turun penarafan Gamuda kepada "pegang" daripada "beli" dengan harga sasaran (TP) lebih rendah RM4.70 sesaham," katanya. - DagangNews.com