KUALA LUMPUR 26 Mac - AME Real Estate Investment Trust (AME REIT) mengumumkan pembelian tiga hartanah industri bernilai RM100.8 juta yang sedang dalam pembinaan daripada pemegang saham pengawal dan penaja, AME Elite Consortium Bhd, sebagai langkah tambahan untuk memanfaatkan pasaran industri yang berkembang pesat di Johor.
AME REIT yang berpusat di Senai, Johor berkata, pembelian dua daripada hartanah itu dijangka selesai menjelang pertengahan 2026, manakala hartanah ketiga akan diperoleh menjelang akhir 2026.
RHB Research, yang mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham tersebut, menaikkan ramalan pendapatan untuk AME REIT, mengubah harga sasaran sahamnya sebanyak 12% kepada RM1.75.
Firma penyelidikan itu menjangkakan, ia akan mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM41.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY26), selepas merekod RM36.4 juta pada FY25 dan meramalkan RM44 juta pada FY27.
Ketiga-tiga hartanah tersebut telah disewa sepenuhnya untuk tempoh 10 tahun dengan klausa peningkatan sewa antara 1.91% hingga 10% bagi setiap tempoh sewaan.
Bagi tahun pertama, ketiga-tiga hartanah tersebut memberikan pendapatan sewa kasar sebanyak RM7.3 juta (hasil kasar 7.2%).
"Hasil kasar permulaan sebanyak 7.2% menjadikannya pembelian yang menguntungkan, walaupun terdapat peningkatan sewa yang tertanam.
"Kami menurunkan ramalan pendapatan FY25 sebanyak 2% dan menaikkan ramalan pendapatan FY27 sebanyak 3% mengambil kira pembelian ini serta menyesuaikan andaian kos pinjaman kami," kata RHB Research dalam satu nota kajian.
Dengan RM177 juta pengambilalihan yang masih berjalan (RM46 juta selesai pada suku keempat FY25), FY26 dijangka menjadi tahun yang kuat untuk AME REIT.
RHB Research berkata, terdapat juga potensi kenaikan lebih lanjut daripada pembaharuan sewa yang akan datang untuk asrama pekerjanya pada FY26 yang menyumbang 16% daripada pendapatan sewa kasar semasa.
AME REIT ini kekal sebagai satu-satunya REIT di Malaysia yang mempunyai asrama pekerja dalam portfolio mereka. - DagangNews.com








