Ambest Group fail permohonan IPO di Pasaran ACE bagi pembayaran pinjaman bank, beli jentera baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ambest Group fail permohonan IPO di Pasaran ACE bagi pembayaran pinjaman bank, beli jentera baharu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Julai - Syarikat perkhidmatan pemesinan berketepatan tinggi, Ambest Group Bhd memfailkan permohonan untuk tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi mengumpul dana untuk membayar pinjaman bank dan membeli jentera baharu.

 

Menurut draf prospektusnya, syarikat itu merancang untuk menyelesaikan sebahagian daripada hutang tertunggak sebanyak RM21.5 juta daripada pinjaman bertempoh bagi mengurangkan jumlah pinjaman keseluruhan dan menjimatkan faedah. 

 

Ambest juga merancang membeli empat mesin pemotong berkomputer bagi meningkatkan kapasiti operasinya.

 

“Peningkatan dalam kapasiti pengeluaran keseluruhan kami adalah selaras dengan rancangan untuk menampung lebih banyak pesanan daripada pelanggan sedia ada serta mengembangkan pangkalan pelanggan kami bagi memberi perkhidmatan kepada pelanggan dari industri lain,” katanya.

 

Ambest, yang berpusat di Pulau Pinang, memberi perkhidmatan terutamanya kepada industri semikonduktor. 

 

Syarikat itu turut menawarkan proses tambahan seperti pemasangan sub-modul dan rawatan kemasan permukaan sebagai sebahagian daripada perkhidmatan nilai tambah kepada pelanggannya.

 

Tahun lalu, Ambest mencatatkan untung bersih sekitar RM7 juta dengan hasil pendapatan sebanyak RM47 juta, yang majoritinya diperoleh daripada pelanggan tempatan. 

 

Malaysia menyumbang 84% daripada jumlah pendapatan, manakala Singapura menyumbang sekitar 16%.

 

Sebahagian daripada hasil penyenaraian awam ini juga telah diperuntukkan sebagai modal kerja am untuk membeli bahan mentah, seperti komponen pemesinan separa siap, bahagian logam lembaran fabrikasi, dan aluminium. Baki selebihnya akan digunakan untuk menampung perbelanjaan penyenaraian.

 

Cadangan IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 110 juta saham baharu dan tawaran untuk penjualan 40.95 juta saham sedia ada, pada harga yang akan ditentukan kemudian. 

 

Hasil penjualan saham sedia ada akan disalurkan sepenuhnya kepada pengasas bersama, Tan Beng Beng dan Lim Eng Guan.

 

Malacca Securities merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin, dan ejen penempatan bagi IPO ini, manakala Wyncorp Advisory bertindak sebagai penasihat kewangan korporat.- DagangNews.com