KUALA LUMPUR 2 Sept – Alam Maritim Resources Bhd bercadang membeli sebuah kapal sokongan luar pesisir (OSV) bernilai AS$19.8 juta atau kira-kira RM80.8 juta bagi memperkukuh keupayaan perniagaan perkhidmatan dasar laut dalam industri minyak dan gas.
Pembelian kapal sepanjang 65 meter itu akan dilaksanakan melalui anak syarikat milik penuhnya, Alam Maritim (M) Sdn Bhd (AMSB), daripada syarikat pembinaan kapal yang berpangkalan di Singapura, POET Shipbuilding & Engineering Pte Ltd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, AMSB akan menggunakan hak pembelian kapal yang diperoleh menerusi perjanjian pilihan pembelian kapal yang dimeterai pada Disember 2025.
Syarikat itu sebelum ini telah membayar yuran pilihan sebanyak AS$900,000 atau kira-kira RM3.67 juta, yang akan dikreditkan sebagai sebahagian daripada bayaran ansuran pertama harga pembelian kapal berkenaan apabila kontrak pembinaan kapal muktamad ditandatangani.
Hak pembelian tersebut telah dilanjutkan sebanyak dua kali, dengan tarikh luput terbaharu ditetapkan pada 31 Oktober 2026.
Pembelian Kapal Perkukuh Keupayaan Dasar Laut
Bagi membiayai pengambilalihan kapal itu termasuk perbelanjaan berkaitan pelayaran dan penyelenggaraan, Alam Maritim akan menggunakan RM44.66 juta daripada dana yang dijana secara dalaman serta RM40.4 juta menerusi pinjaman bank.
Alam Maritim berkata, cadangan pembelian kapal sokongan luar pesisir itu akan membolehkan kumpulan memiliki dan mengendalikan sebuah lagi kapal, sekali gus memperluaskan kapasiti serta meningkatkan keupayaannya menyediakan perkhidmatan dasar laut kepada industri minyak dan gas.
Langkah itu dibuat ketika kumpulan berkenaan sedang giat membina semula saluran perniagaannya selepas berjaya keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) pada 8 Jun lalu.
Dengan pembelian tersebut, armada Alam Maritim akan meningkat kepada lima buah kapal sokongan luar pesisir, berbanding empat buah kapal ketika ini yang beroperasi menerusi perjanjian sewaan tanpa anak kapal atau sewaan mengikut tempoh.
Kapal kelima itu pula dijangka siap dibina menjelang Oktober 2028, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa yang akan diadakan.
Segmen Dasar Laut Jadi Penyumbang Utama Hasil
Perkembangan itu selari dengan kepentingan perniagaan perkhidmatan dasar laut kepada Alam Maritim yang kini menjadi penyumbang utama kepada hasil keseluruhan kumpulan.
Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, segmen dasar laut menyumbang RM415.4 juta atau 86.72% daripada jumlah hasil kumpulan, menunjukkan perniagaan tersebut menjadi tonggak utama aktiviti Alam Maritim.
Setakat 30 Jun 2026 pula, buku tempahan kontrak bagi segmen dasar laut kumpulan berkenaan bernilai RM1.55 bilion, mencerminkan permintaan dan peluang perniagaan yang masih besar dalam segmen tersebut.
Berjaya Securities Sdn Bhd dilantik sebagai penasihat utama kepada Alam Maritim bagi cadangan pembelian kapal sokongan luar pesisir berkenaan. - DagangNews.com








