KUALA LUMPUR 4 Ogos - Tugas pekerja pembersihan amat mulia namun amat jarang dihargai. Atas kesedaran itu, Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) membina sebuah monumen lori kompaktor bertujuan memberi kesedaran umum dan penghormatan kepada golongan pekerja pembersihan.
Monumen lori kompaktor yang dibina di Taman Gelora, Kuantan itu dilancarkan bersempena sambutan Hari Penghargaan Pekerja Pembersihan.
Apa yang menarik, monumen itu dibina daripada lori kompaktor terpakai tahun 2012 yang telah berkhidmat selama 13 tahun mengutip sampah di kira-kira tiga juta premis di Kuala Lumpur dan Pahang.
Ia telah diubah suai sepenuhnya menjadi struktur kekal yang membawa mesej penghormatan, kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Fasiliti SWCorp, Azman Omar dan Pengarah Jabatan Kawalan Perniagaan dan Perkhidmatan Perbandaran, Majlis Bandaraya Kuantan, Norkamawati Kamal.
Hadir sama, Pengarah SWCorp Negeri Pahang, Zaidi Tuah dan Ketua Pegawai Operasi Alam Flora, Mohamad Muhazni Mukhtar.
Menurut Mohamad Muhazni, pembinaan monumen ini adalah manifestasi komitmen Alam Flora dalam memperkasakan imej pekerja pembersihan serta mendidik masyarakat agar lebih menghargai peranan mereka.
“Monumen ini bukan sekadar struktur fizikal, tetapi lambang semangat, ketekunan dan jasa mereka yang menjaga kebersihan kita setiap hari. Ia juga menjadi platform pendidikan awam untuk menyemai budaya hormat terhadap pekerjaan pembersihan,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, monumen itu dijangka memberi impak positif kepada masyarakat setempat, bukan sahaja
sebagai mercu tanda baharu di Taman Gelora, tetapi juga sebagai alat pendidikan visual yang menggalakkan nilai kebersihan, kelestarian dan tanggungjawab bersama.
Ia turut menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk lebih prihatin terhadap penjagaan alam sekitar.
Sebagai tanda sokongan kepada komuniti pekerja pembersihan, Alam Flora turut menyampaikan anugerah penghargaan kepada 27 pekerja am dan sumbangan kepada 10 keluarga asnaf atas jasa dan pengorbanan mereka.








