Aizo catat lonjakan hasil 21% kepada RM33.94 juta pada 1QFY26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aizo catat lonjakan hasil 21% kepada RM33.94 juta pada 1QFY26

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 21 NovAizo Group Berhad memulakan suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26) dengan kukuh apabila hasil meningkat 21% kepada RM33.94 juta berbanding RM28.05 juta setahun lalu, dipacu kemajuan projek infrastruktur dan permintaan tinggi perdagangan bitumen mentah.

 

Aizo berkata, margin operasi turut bertambah baik apabila keuntungan kasar meningkat kepada RM4.77 juta berbanding RM3.41 juta tahun sebelumnya. 

 

Pada masa sama, kerugian sebelum cukai (LBT) mengecil ketara kepada RM1.42 juta daripada RM2.63 juta dalam Q1 FY2025, dipacu kecekapan operasi, pengukuhan prestasi segmen serta kawalan kos yang lebih berdisiplin.

 

Menurut syarikat itu, segmen tenaga mencatat prestasi lebih kukuh hasil ketersediaan loji yang lebih stabil dan pengeluaran konsisten.

 

Dari segi suku ke suku, hasil sebanyak RM33.94 juta lebih rendah sedikit berbanding RM37.02 juta pada suku sebelumnya (Q5 FY2025) berikutan pelarasan pengeluaran sementara di Selinsing Gold Mine Site yang menjejaskan sumbangan kejuruteraan awam.

 

Namun, segmen produk bitumen dan tenaga terus menunjukkan pertumbuhan.

 

Aizo berkata, LBT suku semasa bertambah baik dengan ketara berbanding RM7.69 juta yang direkodkan pada suku sebelumnya, terutamanya kerana tiada lagi perbelanjaan susut nilai yang direkodkan. 

 

EBITDA terlaras kekal positif pada RM1.38 juta, mencerminkan ketahanan operasi asas kumpulan.

 

Segmen produk bitumen mencatat rekod prestasi terbaik setakat ini dengan hasil RM9.66 juta, disokong permintaan berterusan bagi perdagangan bitumen mentah dan margin operasi yang lebih baik. 

 

Aizo berkata pencapaian ini mengukuhkan kedudukannya dalam rantaian bekalan bitumen negara dan menyumbang kepada kestabilan pendapatan kumpulan.

 

Pengarah Eksekutif, Ahmad Rahizal Dato’ Ahmad Rasidi, dalam kenyataannya hari ini berkata, peningkatan prestasi ini menunjukkan hala tuju strategik syarikat semakin menampakkan hasil.

 

“Prestasi suku ini mencerminkan kemajuan konsisten Aizo ketika kami memperkemas model operasi, mengukuhkan pelaksanaan projek dan menyusun semula teras perniagaan utama. Pertumbuhan hasil dua angka dan pengurangan kerugian yang ketara membuktikan traksi nyata dalam segmen kejuruteraan awam, produk bitumen dan tenaga,” katanya.

 

Menurutnya lagi, operasi loji solar kekal stabil manakala kerja kejuruteraan berkadar margin lebih tinggi mula menyumbang dengan lebih ketara kepada prestasi kumpulan.

 

“Peningkatan ini mengukuhkan komitmen kami untuk membawa syarikat ke landasan keuntungan yang lebih mampan serta penciptaan nilai jangka panjang,” katanya.

 

Melihat ke hadapan, Aizo berkata, kumpulan kekal berhati-hati dalam persekitaran ekonomi bercampur, sambil memberi tumpuan kepada kecekapan operasi, pengurusan kos berhemat dan penyelarasan kemajuan projek merentasi kerja infrastruktur, pembuatan produk bitumen dan operasi tenaga boleh baharu.

 

Aizo menambah, dengan penyelarasan tahun kewangan kini selesai, penyegerakan kitaran penghantaran projek dan penanda aras pelaporan kewangan dijangka menjadi lebih jelas pada masa hadapan.

 

Setakat tarikh pengumuman, syarikat mengekalkan asas aset kukuh bernilai RM179.66 juta, selain terus memantau komitmen modal dan keperluan modal kerja secara berhemat.

 

Kumpulan berkata ia kekal fokus memperkukuh asas operasi dan meningkatkan nilai jangka panjang kepada pemegang saham ketika bergerak menerusi FY2026. - DagangNews.com