KUALA LUMPUR 17 Jun – AirAsia Malaysia melancarkan dua laluan terus baharu dari Kuala Lumpur ke Palembang dan Semarang, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 188 penerbangan mingguan antara Malaysia dan Indonesia.
AirAsia Malaysia kini menghubungkan 15 destinasi di seluruh Indonesia termasuk Jakarta, Bali (Denpasar), Medan, Yogyakarta, Banda Aceh, Makassar, Padang, Pekanbaru, Balikpapan, Labuan Bajo, Lombok serta dari Pulau Pinang ke Jakarta dan Medan, menjadikannya antara syarikat penerbangan asing dengan rangkaian paling luas di negara itu.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata, pelancaran itu membuktikan usaha berterusan syarikat untuk menghubungkan lebih banyak bandar di seluruh Indonesia, khususnya kawasan yang kurang mendapat sambungan.

"Kami berbesar hati dapat kembali ke Palembang dan Semarang serta menjadi antara terawal yang membuka semula tempahan ke dua destinasi ini yang wajar dikenali dengan lebih meluas.
"Setiap laluan baharu akan membuka lebih banyak peluang perniagaan, pelancongan, dan hubungan antara masyarakat," katanya dalam satu kenyataan.

Pelancaran laluan baharu itu sejajar sasaran Indonesia untuk menarik 16 juta kehadiran pelancong antarabangsa pada 2025, dengan Malaysia kekal sebagai pasaran sumber utama.
Langkah itu juga bertepatan dengan pembukaan semula Lapangan Terbang Sultan Mahmud Badaruddin II (Palembang) dan Lapangan Terbang Jenderal Ahmad Yani (Semarang) bagi perkhidmatan antarabangsa, menjadikan AirAsia syarikat penerbangan antarabangsa pertama yang kembali beroperasi di kedua-dua bandar tersebut.

AirAsia juga menawarkan tambang promosi istimewa serendah RM159 sehala untuk penerbangan dari Kuala Lumpur ke Palembang.
Manakala tambang dari Palembang ke Kuala Lumpur bermula RM147 sehala.
Sementara itu, penerbangan dari Kuala Lumpur ke Semarang ditawarkan pada tambang promosi bermula RM199 sehala, manakala dari Semarang ke Kuala Lumpur bermula RM235 sehala.

Palembang yang dahulunya menjadi pusat Empayar Sriwijaya kini menampilkan gabungan sejarah yang kaya, sajian tempatan yang lazat serta tarikan tepi sungai, dengan Sungai Musi sebagai sungai terpanjang di Sumatera dan Jambatan Ampera sebagai simbol kemajuan bandar tersebut.
Antara tarikan utama di Semarang termasuk Kampung Pelangi yang berwarna-warni serta Kota Lama yang terkenal dengan seni bina kolonial dan suasana yang meriah.
Tempahan bagi laluan ini dibuka mulai hari ini hingga 29 Jun 2025, untuk perjalanan antara 5 September 2025 hingga 28 Mac 2026.- DagangNews.com








