AirAsia diiktiraf sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia buat kali ke-16 berturut-turut | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia diiktiraf sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia buat kali ke-16 berturut-turut

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 18 Jun – AirAsia dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia pada Anugerah Skytrax World Airline 2025, menandakan kejayaan selama 16 tahun berturut-turut dalam mendominasi industri penerbangan tambang rendah global.

 

Pengiktirafan itu mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai penanda aras global, disokong oleh rangkaian lebih 130 destinasi serta strategi pelbagai hab di Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, dan Kemboja.

 

Pengerusi Capital A merangkap Pengasas Bersama AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun ketika menerima anugerah tersebut pada Paris Air Show 2025 berkata, kejayaan itu masih bermakna meskipun sudah berulang selama 16 tahun.

 

"Pengiktirafan ke-16 itu merupakan bukti kami terus setia dengan misi tersebut buat jutaan penumpang yang memilih untuk terbang bersama kami setiap tahun," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A dan Pengasas Bersama AirAsia, Tony Fernandes pula menyifatkan pencapaian itu amat bermakna memandangkan syarikat kini menghampiri angka satu bilion tetamu, berbanding hanya 200,000 tetamu pada tahun pertama operasinya.

 

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan Skytrax kerana mengiktiraf usaha ini dan saya ingin berkongsi anugerah ini bersama-sama Allstars kerana anugerah ini adalah milik mereka," katanya.

 

Syarikat itu merancang untuk memperluas rangkaiannya ke Asia Tengah dan Asia Barat sebagai langkah ke arah menjadi rangkaian syarikat penerbangan tambang rendah global pertama di dunia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Skytrax, Edward Plaisted berkata, kejayaan AirAsia menunjukkan komitmen berterusan dalam menawarkan perkhidmatan berkualiti dan berpatutan dalam pasaran yang sangat kompetitif.

 

AirAsia turut diiktiraf atas peranannya dalam menghubungkan bukan hanya bandar utama, tetapi juga bandar kecil dan luar bandar melalui laluan unik seperti Kuala Lumpur-Labuan Bajo, Bangkok-Narathiwat, Manila-Tagbilaran, Jakarta-Silangit, dan lain-lain.

 

Anugerah Skytrax World Airline merupakan antara pengiktirafan paling berprestij dalam industri penerbangan, berdasarkan kajian dalam talian yang dijalankan dari September 2024 hingga Mei 2025, melibatkan lebih 22.3 juta responden sah daripada lebih 100 kewarganegaraan dan 325 syarikat penerbangan.

 

AirAsia dinamakan sebagai jenama syarikat penerbangan ke-24 paling bernilai di dunia, dengan nilai dianggarkan AS$1.93 billion (RM8.20 bilion), sekali gus mengukuhkan kedudukan jenamanya di rantau ini dan menarik perhatian pasaran global.

 

Semua kos kajian dan penganjuran ditanggung sepenuhnya oleh Skytrax tanpa sebarang yuran penyertaan atau pendaftaran daripada mana-mana syarikat penerbangan.- DagangNews.com