KUALA LUMPUR 19 Jun - Jenama ais krim dan minuman teh dari Indonesia, Ai-CHA berjaya merangkul dua pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) bagi kategori 'Rantaian Kedai Ais Krim Terbanyak Dibuka Dalam Setahun' dan 'Rantaian Kedai Minuman Terbanyak Dibuka Dalam Setahun'.
Dalam tempoh 12 bulan lalu, Ai-CHA membuka sebanyak 300 cawangan di seluruh negara, dengan purata hampir satu cawangan baharu setiap hari.
Jenama itu turut menerima Anugerah Pilihan Pengguna 2025/2026 daripada Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) yang disampaikan oleh Timbalan Presidennya, Prof Jericho Tang Kit Wai.

Timbalan Pengurus Besar Global Ai-CHA, Danny Tahardi berkata, pengiktirafan tersebut membuktikan komitmen syarikat terhadap kecemerlangan dalam industri makanan dan minuman (F&B) yang kompetitif.
"Kejayaan ini menjadi pemangkin untuk kami terus mengekalkan kedudukan sebagai jenama dipercayai di pasaran tempatan dan antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan semasa majlis pengiktirafan MBR dan MTPN.
Sementara itu, Pengarah Ai-CHA Malaysia, Vincent Ong berkata, kejayaan luar biasa itu didorong oleh sokongan kukuh rakyat tempatan serta keberkesanan model francais mesra pelabur yang ditawarkan oleh Ai-CHA.

"Ai-CHA berjaya berkembang ke pelbagai lokasi dari bandar utama hingga ke kawasan yang kurang diliputi jenama antarabangsa.
"Pengiktirafan ini mengukuhkan lagi komitmen Ai-CHA terhadap kualiti dan pertumbuhan pantas menerusi model francais mesra pelabur, dengan modal permulaan serendah RM100,000," katanya.
Syarikat kini merancang untuk meluaskan operasi ke kawasan pinggir bandar dan luar bandar, khususnya di Malaysia Timur yang menunjukkan permintaan pengguna tinggi namun persaingan masih rendah.

Ai-CHA kini beroperasi di sembilan negara termasuk Indonesia, Thailand, Vietnam, Laos, Filipina, Kemboja, Myanmar, dan Brunei.
Syarikat turut merancang memperkenalkan snek seperti ayam goreng dan kentang goreng di cawangan terpilih, sekali gus membuka ruang baharu menjadikannya sebagai destinasi snek santai pilihan pengguna.- DagangNews.com








