Ahli Parlimen terima gaji RM30,000-RM40,000 sebulan - Pejabat Perdana Menteri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ahli Parlimen terima gaji RM30,000-RM40,000 sebulan - Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR 12 Mac -  Ahli Parlimen tidak mempunyai sebab untuk mendakwa gaji mereka terlalu rendah atau mereka dipaksa berhutang hanya untuk menampung keperluan hidup, kata Pejabat Perdana Menteri.

 

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, Ahli Parlimen memperoleh antara RM30,000 dan RM40,000 sebulan dan berikut merupakan jumlah pecahan pendapatan mereka: 

 

 

  • Ahli Parlimen mendapat elaun tetap bulanan RM25,700.

 

  • Mereka berhak mendapat RM400 sehari untuk menghadiri persidangan parlimen, RM300 sehari untuk menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) atau Jawatankuasa Pilihan Khas apabila Parlimen tidak bersidang, dan RM250 sehari untuk mesyuarat PAC semasa persidangan parlimen.

 

  • Mereka layak mendapat RM300 sehari untuk menghadiri taklimat rasmi, RM100 sehari sebagai elaun sara hidup harian apabila menghadiri Parlimen atau menjalankan tugas rasmi melebihi 32km dari kediaman mereka, serta tuntutan perjalanan dan penginapan.

 

  • Bagi tugas rasmi di luar negara, Ahli Parlimen boleh menuntut elaun makan RM340 semalam dan elaun sara hidup harian RM170, berserta tuntutan penginapan dan pengangkutan.

 

  • Mereka juga berhak mendapat tuntutan kerugian tukaran mata wang asing dan tip bersamaan 25% daripada elaun makan.

 

Kenyataan itu juga menyebut, dengan semua pembayaran ini digabungkan, pendapatan ahli parlimen boleh mencecah antara RM30,000 dan RM40,000 sebulan, angka yang disebut sebelum ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Anwar telah memberi maklum balas kepada Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang berkata syarat yang dikenakan kerajaan untuk peruntukan sama adalah terlalu ketat dan tidak adil.

 

Muhyiddin berkata, itu adalah sebab gabungan pembangkang menolak draf Memorandum Persefahaman (MoU).- DagangNews.com