KUALA LUMPUR 19 Mac - Pengurus dana aset digital pertama yang berlesen di Malaysia, Halogen Capital, menandatangani perjanjian dengan Affin Bank Berhad untuk mengedarkan Halogen Shariah Defensive Bitcoin Fund yang dilengkapi dengan strategi pemeliharaan modal yang bersepadu.
Dana itu direka untuk membantu pelabur kaya dan institusi melabur dalam Bitcoin dengan risiko yang rendah dan cara yang selamat, sambil memanfaatkan potensi pertumbuhannya.
Ia akan menggunakan strategi beli dan tahan yang menggabungkan deposit Islam berisiko rendah dan aset aktif berpotensi tinggi, Bitcoin.
Pendekatan tersebut memastikan nilai portfolio dilindungi daripada turun naik pasaran yang ketara, memberikan pelabur kestabilan dan potensi keuntungan.
Pengasas dan CEO Halogen Capital, Hann Liew berkata, Halogen Shariah Defensive Bitcoin Fund mentakrifkan semula bagaimana pelabur kaya dan institusi boleh meneroka pelaburan aset digital di Malaysia.
"Dengan menggabungkan potensi pertumbuhan tinggi Bitcoin dan strategi pemeliharaan modal, kami menyediakan rumusan yang inovatif dan praktikal.
"Kami menyedari pelabur memerlukan peluang pertumbuhan yang tinggi dalam pasaran aset digital tanpa menghadapi kerugian modal yang besar, sambil terus patuh kepada prinsip syariah," katanya dalam satu kenyataan.
Melalui pengedaran dana berkenaan bagi pihak Halogen Capital, Affin Bank ingin memperkenalkan alternatif pelaburan yang lebih terkawal risiko untuk pelabur, dengan menghubungkan prinsip kewangan tradisional dan pasaran aset digital yang sentiasa berubah.
Dana itu merupakan rumusan yang sesuai bagi pelabur yang ingin mempelbagaikan pelaburan mereka dengan pilihan pelaburan yang inovatif tetapi selamat.
Pengarah Eksekutif Perbankan Komuniti Kumpulan Affin Bank Berhad, Mohammad Fairuz Mohd Radi berkata, pihaknya teruja memperkenalkan strategi pelaburan inovatif yang menyatukan Bitcoin dengan deposit Islam, menawarkan pelanggan kaedah yang selamat dalam landskap aset digital.
"Inisiatif ini menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi kami untuk menyediakan rumusan yang terkini seiring dengan teras strategik Pelan Affin Axelerate 2028 (AX28) – Perkhidmatan Pelanggan Tiada Tandingan, Kepimpinan Digital dan Perbankan Bertanggungjawab Dengan Impak," ujarnya.
Dana tersebut adalah Dana Tertutup yang ditawarkan untuk pelabur yang berpengalaman.
Pelabur dijangka mempunyai tempoh pelaburan jangka pendek hingga sederhana selama dua tahun.
Pelaburan minimum bermula RM10,000 dengan caj jualan awal sehingga 2% dan yuran pengurusan tahunan sebanyak 1%. - DagangNews.com








