Aerotrain KLIA dihentikan perkhidmatan setiap hari dari tengah malam hingga 5 pagi untuk pemeriksaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aerotrain KLIA dihentikan perkhidmatan setiap hari dari tengah malam hingga 5 pagi untuk pemeriksaan

Gambar fail aerotrain KLIA - Malaysia Airports Holdings Berhad
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 8 Nov – Operasi Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dihentikan setiap hari selama lima jam selepas tengah malam bagi tujuan kerja-kerja pemeriksaan.

 

Notis berkenaan dimuat naik di akaun rasmi X KLIA pada Jumaat (7 Nov).

 

“Perkhidmatan Aerotrain akan menjalani pemeriksaan dan kerja-kerja pembaikan dari jam 12 tengah malam hingga 5 pagi setiap hari.

 

“Sepanjang tempoh ini, perkhidmatan bas ulang-alik akan beroperasi sepenuhnya bagi memastikan penumpang terus menikmati pengalaman pemindahan yang lancar.

 

“Langkah ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kami untuk mengekalkan sambungan lapangan terbang yang selamat, cekap dan selesa,” menurut kenyataan itu.

 

Pada 31 Oktober lalu, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memaklumkan bahawa pihaknya merancang melaksanakan pelan tindakan menyeluruh bagi menangani isu kebolehpercayaan yang berulang melibatkan sistem Aerotrain KLIA.

 

MAHB turut menegaskan pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Kementerian Pengangkutan bagi menangani serta menyelesaikan masalah berkenaan.

 

Keputusan itu dibuat susulan beberapa insiden melibatkan Aerotrain yang mendorong pengendali lapangan terbang berkenaan mengambil tindakan rasmi terhadap kontraktor dan menuntut pembetulan segera.

 

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan menyatakan penyedia perkhidmatan Aerotrain boleh dikenakan denda sehingga RM190,000 bagi setiap bulan sekiranya gagal memastikan kelancaran operasi tren tersebut. - DagangNews.com