KUALA LUMPUR 9 Mac — Advancecon Holdings Berhad memperoleh kontrak bernilai RM148.4 juta bagi melaksanakan kerja tanah dan infrastruktur utama untuk Pakej 1B di pembangunan Southern Ibrahim Technopolis (IBTEC) di Kulai, Johor.
Syarikat itu dalam kenyataan berkata, anak syarikat milik penuhnya, Advancecon Infra Sdn Bhd, telah menerima Surat Setuju Terima (LOA) daripada JLG Technopark Sdn Bhd bagi cadangan pembinaan dan penyiapan kerja tanah serta infrastruktur utama projek tersebut.
Kontrak berkenaan akan dilaksanakan dalam tempoh 19 bulan bermula 1 April 2026.
Menurut Advancecon, kejayaan terbaharu itu merupakan projek kedua kumpulan dalam pembangunan IBTEC dan mencerminkan keyakinan berterusan pelanggan terhadap rekod prestasi serta standard penyampaian projek oleh syarikat.
IBTEC merupakan hab industri dan teknologi yang sedang pesat dibangunkan di Johor dan dijangka menyokong pertumbuhan sektor pembuatan serta industri bernilai tinggi di Malaysia.
Pembangunan itu juga dilihat berperanan penting dalam memperkukuh kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan serantau, khususnya ketika aktiviti ekonomi rentas sempadan dan pengembangan industri di koridor selatan semakin meningkat.
Buku tempahan hampir RM900 juta
Sehingga 31 Disember 2025, buku tempahan Advancecon Holdings Berhad berjumlah kira-kira RM756 juta.
Dengan tambahan projek IBTEC ini, nilai buku pesanan tertunggak kumpulan dijangka menghampiri RM900 juta, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan yang lebih kukuh bagi tempoh kewangan akan datang.
Penganugerahan kontrak tersebut juga mengukuhkan kedudukan Advancecon dalam projek kerja tanah dan infrastruktur berskala besar di seluruh negara selain memperluaskan lagi kehadiran syarikat dalam pembangunan industri yang pesat berkembang di Johor.
Johor terus tawar peluang pembangunan
Pengarah Urusan Advancecon Holdings Berhad, Phum Boon Eng berkata, kejayaan memperoleh projek IBTEC itu merupakan satu pencapaian penting bagi kumpulan ketika ia terus membina momentum selepas kembali mencatat keuntungan bagi keseluruhan tahun kewangan 2025.
“Kontrak ini bukan sahaja mengukuhkan keupayaan teknikal kami dalam kerja tanah dan infrastruktur berskala besar, malah meningkatkan buku pesanan kami hampir kepada paras RM1 bilion, sekali gus memberikan keterlihatan yang lebih baik untuk pertumbuhan pendapatan mampan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau menambah bahawa Johor terus menawarkan peluang menarik dalam pembangunan infrastruktur dan industri, terutama apabila semakin banyak pelaburan baharu serta industri berteraskan teknologi menubuhkan operasi di negeri itu.
Menurutnya, pembangunan IBTEC berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan peranan Johor yang semakin penting sebagai pintu masuk industri utama Malaysia.
“Advancecon berbangga dapat menyumbang kepakaran kami kepada pembangunan penting ini dan komited untuk menyampaikan kerja infrastruktur berkualiti tinggi yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Advancecon berkata, kumpulan itu akan terus menumpukan kepada projek yang sejajar dengan kekuatan terasnya dalam kerja tanah dan kejuruteraan awam, khususnya pembangunan bandar baharu, projek perindustrian dan infrastruktur berskala besar di Malaysia. - DagangNews.com








