KUALA LUMPUR 24 Jan - Acme Holdings Bhd memperoleh saham biasa yang mewakili 50% ekuiti dalam Pedoman Canggih Sdn Bhd, dengan nilai RM22.4 juta.
Perjanjian pemerolehan ditandatangani dengan Bon Holdings Sdn Bhd sebagai penjual.
Aset utama Pedoman Canggih adalah sebidang tanah pegangan bebas di Pulau Pinang yang dianggarkan bernilai RM67.3 juta berdasarkan penilaian bebas.
Pemerolehan berkenaan akan dibiayai melalui gabungan dana dalaman dan pinjaman bank.
Pedoman Canggih pada asasnya merupakan sebuah syarikat pemegang pelaburan dan penyata kewangannya bagi tahun 2023 mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM34,056 serta liabiliti sebanyak RM5.7 juta.
Tanah yang dimiliki oleh Pedoman Canggih adalah untuk pembangunan hartanah, selaras dengan matlamat strategik Acme untuk mengembangkan aktiviti pembangunan hartanahnya.
Walaupun terdapat beberapa risiko berkaitan pemerolehan itu termasuk kemungkinan terma pemerolehan tidak dipenuhi dan kebimbangan terhadap aliran tunai, Acme percaya, ia akan menyokong prospek pertumbuhan jangka panjang syarikat.
Transaksi tersebut dijangka tidak memberi kesan terhadap modal saham atau pendapatan Acme dalam jangka pendek.
Bagaimanapun, pembangunan masa depan tanah tersebut mungkin akan menyumbang kepada pendapatan Acme.
Pemerolehan itu dijangka selesai menjelang separuh pertama 2025. - DagangNews.com








