KUALA LUMPUR 9 April - Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib mengkritik keras `penjelasan' Cahya Mata Sarawak Bhd (CMSB) kepada Bursa Malaysia berhubung penukaran jawatannya, yang disifatkannya sebagai tidak memadai dan mengelirukan.
Beliau berkata, alasan CMSB tersebut dilihat sebagai cubaan untuk menormalisasikan amalan tertentu dalam pengurusan lembaga pengarah, selain menimbulkan persoalan mengenai ketelusan tadbir urus syarikat.
Menurutnya, adalah tidak munasabah untuk mengandaikan bahawa urusan lembaga hanya tertumpu kepada lima anak syarikat yang sedang berdepan tindakan undang-undang.
Walaupun dijemput menghadiri mesyuarat lembaga, beliau menegaskan tidak pernah menarik diri secara sukarela, sebaliknya dihalang daripada mengambil bahagian atas alasan konflik kepentingan yang dianggapnya sebagai tafsiran sepihak.
“Keadaan ini telah menjadi satu kaedah berkesan untuk menyingkirkan penyertaan saya dalam mesyuarat lembaga,” katanya dalam satu kenyataan.
Dakwa wujud corak pengecualian
Mahmud Abu Bekir turut mendakwa tindakan tersebut berlaku selepas tempoh beliau sebelum ini dikecualikan daripada hal ehwal lembaga susulan satu injunksi, yang kemudiannya diketepikan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.
“Corak ini amat jelas,” tegas beliau.
Menurutnya, isu berkenaan mula timbul sejak Februari tahun lalu apabila beliau memohon akses kepada akaun syarikat serta rekod lima anak syarikat CMSB.
Apabila permintaan itu ditolak oleh lembaga, beliau memfailkan saman pemula untuk mendapatkan hak pemeriksaan, yang menurutnya merupakan hak mutlak seorang pengarah di bawah Seksyen 245 Akta Syarikat 2016.
Mahmud Abu Bekir menegaskan bahawa CMSB bukan sekadar syarikat tersenarai biasa, sebaliknya memainkan peranan penting dalam pembangunan Sarawak.
Sehubungan itu, katanya, sebarang hakisan kepercayaan terhadap tadbir urus syarikat boleh memberi kesan jangka panjang terhadap keupayaan kumpulan dan anak syarikatnya melaksanakan projek yang diamanahkan kepada mereka bagi pihak rakyat Sarawak.
Seru campur tangan pengawal selia
Dalam kenyataan sama, beliau menggesa pihak pengawal selia supaya menyiasat apa yang disifatkannya sebagai cubaan terang-terangan untuk merampas kuasa seorang ahli lembaga yang dipilih secara sah.
“Sebarang kelemahan dalam tadbir urus perlu ditangani kerana ia melibatkan kepentingan pemegang saham dan dana awam,” katanya.
Beliau menambah, kegagalan untuk membangkitkan isu tersebut akan dianggap sebagai pengabaian tanggungjawab fidusiari beliau sebagai pengarah. - DagangNews.com








