KUALA LUMPUR 10 April - Cahya Mata Sarawak Bhd (CMSB) mempertahankan keputusannya mengecualikan Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib daripada beberapa mesyuarat lembaga pengarah dan jawatankuasa tertentu bagi mengelak konflik kepentingan berkaitan prosiding undang-undang yang sedang berjalan.
Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu menjelaskan langkah berkenaan adalah perlu bagi memastikan kepentingan syarikat terus terpelihara selain mengekalkan kerahsiaan strategi perundangan.
“Dalam keadaan tersebut, CMSB berpendirian bahawa keperluan untuk Datuk Seri Mahmud menarik diri daripada perbincangan berkaitan perkara itu adalah perlu dan wajar,” katanya.
Penjelasan itu dibuat selepas Bursa Malaysia Securities meminta maklumat tambahan susulan afidavit yang difailkan Mahmud Abu Bekir bagi menyokong saman pemula di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.
Pada 2 April lalu, bekas timbalan pengerusi CMSB itu memfailkan saman terhadap syarikat dan 10 pihak lain bagi mendapatkan pengisytiharan mahkamah berhubung peranannya sebagai pengarah.
Beliau turut memohon akses kepada minit mesyuarat lembaga terdahulu serta meminta agar agenda mesyuarat akan datang menyatakan secara jelas perkara yang memerlukan beliau menarik diri.
Artikel Berkaitan: Mahmud Abu Bekir saman Cahya Mata Sarawak didakwa halang hadiri mesyuarat pengarah
Menurut CMSB, afidavit tersebut menunjukkan tindakan undang-undang itu timbul selepas permintaan agar beliau menarik diri daripada Mesyuarat Jawatankuasa Risiko Kumpulan pada 23 Februari, serta Mesyuarat Jawatankuasa Pencalonan & Ganjaran dan mesyuarat lembaga pada 24 Februari.
Bagaimanapun, selepas beliau enggan berbuat demikian, lembaga pengarah memutuskan supaya beliau dikecualikan daripada perbincangan dan pertimbangan berkaitan atas dasar konflik kepentingan.
Sebelum ini, CMSB memaklumkan konflik tersebut berpunca daripada prosiding undang-undang yang sedang berjalan, dan kes berkenaan tidak dijangka memberi kesan kewangan material kepada kumpulan.
Dalam perkembangan berkaitan, saham CMSB ditutup susut dua sen atau 1.7% kepada RM1.17 pada Khamis, menjadikan nilai pasarannya sekitar RM1.26 bilion berdasarkan harga penutup terkini. - DagangNews.com








