5.4 juta terima bantuan tambahan SARA bermula 1 April 2025 - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

5.4 juta terima bantuan tambahan SARA bermula 1 April 2025 - PM Anwar

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Mac - Pemberian Sumbangan Asas Rahman (SARA) akan diperluas kepada 5.4 juta penerima bermula 1 April 2025 dan jumlah itu adalah peningkatan hampir lapan kali ganda berbanding 700,000 penerima sedia ada.

 

Penerima yang layak akan menerima bantuan SARA sehingga RM2,100 secara keseluruhan pada 2025, peningkatan 75% berbanding RM1,200 pada 2024.

 

Bantuan itu akan dikreditkan secara bulanan ke MyKad penerima di seluruh negara, termasuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

 

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peluasan itu merupakan sebahagian daripada peningkatan peruntukan program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA kepada RM13 bilion pada tahun 2025, jumlah tertinggi dalam sejarah penyaluran bantuan tunai kerajaan kepada rakyat.

 

“SARA merupakan pendekatan bantuan secara bersasar di mana sebahagian pertambahan hasil negara serta penjimatan daripada perbelanjaan subsidi diagihkan semula bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan. 

 

"Penyaluran SARA melalui MyKad juga bersasar kerana kaedah tersebut memastikan golongan sasar menerima manfaatnya dalam bentuk barangan asas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kementerian Kewangan berkata, 5.4 juta penerima itu terdiri daripada 700,000 penerima SARA sedia ada di dalam rekod eKasih yang telah menerima bantuan sejak Januari 2025. 

 

Katanya, mulai 1 April 2025, mereka akan menerima bantuan tambahan SARA sebanyak RM50 sebulan untuk golongan warga emas tiada pasangan, dan RM100 sebulan untuk isi rumah.

 

Mulai tarikh itu juga, sejumlah 4.7 juta penerima STR sedia ada yang tidak berada di dalam rekod eKasih akan menerima  bantuan baharu SARA sebanyak RM50 sebulan untuk golongan warga emas tiada pasangan, dan RM100 sebulan untuk isi rumah.

 

Bermula pada tahun ini, penyaluran SARA melalui penggunaan MyKad akan diperluaskan ke negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan berbanding hanya di negeri-negeri Semenanjung Malaysia pada tahun 2024.

 

Kaedah pelaksanaan yang seragam ini adalah penambahbaikan daripada tahun lalu, berbanding penyaluran bantuan secara tunai dua kali setahun kepada penerima SARA yang bermastautin di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

 

Di bawah program SARA, pemanfaat boleh membeli barangan keperluan asas terpilih dengan menggunakan MyKad di kedai-kedai runcit berdaftar yang kini berjumlah lebih 3,500 buah di seluruh negara, berbanding 700 buah pada tahun 2024.

 

Penerima SARA boleh menggunakan kredit yang disalurkan untuk membeli barangan keperluan asas terpilih di bawah kategori barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan, selain daripada barangan makanan asas.

 

Soalan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan SARA boleh didapati di portal rasmi STR, pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my manakala maklumat lanjut mekanisme pelaksanaan SARA pula boleh dirujuk di https://www.mykasih.com.my.- DagangNews.com