KUALA LUMPUR 12 Jun - Sebanyak 42% perniagaan di Malaysia kini memberi tumpuan kepada pasaran tempatan bagi mengurangkan kesan Tarif Perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan ketidaktentuan perdagangan global, menurut Tinjauan HSBC Global Trade Pulse 2025.
Kajian yang melibatkan lebih 5,700 syarikat dari 13 negara termasuk Malaysia itu menunjukkan, kira-kira 55% perniagaan tempatan bimbang dengan kenaikan kos akibat tarif dan faktor perdagangan lain.
Sebagai tindak balas, sebanyak 42% syarikat menumpukan semula kepada pelanggan tempatan, manakala 40% lagi merancang untuk berbuat demikian.
"Selain itu, 37% syarikat telah meningkatkan simpanan stok bagi menghadapi gangguan dalam rantaian bekalan dan 49% lagi dijangka mengambil langkah sama," demikian menurut keputusan kajian berkenaan.
Walaupun suasana perdagangan global tidak menentu, sebanyak 91% daripada 250 syarikat Malaysia yang disoal selidik yakin boleh terus berkembang di peringkat antarabangsa, lebih tinggi daripada purata global sebanyak 89%.
Sejumlah 73% syarikat pula melihat cabaran perdagangan sebagai peluang untuk berdaya cipta dan mencuba perkara baharu, manakala 55% sedang mencari nasihat bagi pengembangan ke luar negara, menyusun semula operasi atau menyesuaikan rantaian bekalan.
Tinjauan sama mendapati, lebih banyak syarikat di Malaysia kini memperkukuh hubungan dagangan dengan China (61%), Asia Selatan (55%) dan Asia Utara (44%), dalam menyesuaikan strategi perdagangan.
"Di luar Asia, syarikat-syarikat Malaysia juga merancang untuk meningkatkan dagangan dengan Eropah dan AS, masing-masing sebanyak 32%," jelasnya.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Perbankan HSBC Malaysia, Datuk Omar Siddiq berkata, walaupun berdepan cabaran seperti tarif dan perubahan dasar perdagangan global, syarikat-syarikat di Malaysia masih mampu menyesuaikan diri dan terus kukuh.
"Rantaian bekalan mungkin perlu diubah, tetapi masih banyak peluang, terutama melalui hubungan dagangan Malaysia yang kuat di Asia.
"Pasaran seperti AS juga kekal penting, khususnya bagi sektor bernilai tinggi seperti elektronik dan semikonduktor," katanya.
Omar berkata, lebih 70% syarikat menjangka kos perniagaan akan terus naik dan pendapatan mungkin turun sebanyak 18%.
"Oleh itu, syarikat perlu menyesuaikan strategi mereka. Walaupun keadaan dunia tidak menentu, masih banyak peluang yang boleh diterokai.
"Syarikat perlu pantas menyesuaikan diri dan bekerjasama dengan rakan yang kuat dalam ekonomi global yang sentiasa berubah untuk kekal bertahan," ujarnya.
Dalam keadaan mencabar itu, syarikat-syarikat di Malaysia turut mengambil peluang untuk berdaya cipta dan menambah baik kecekapan operasi.
Sebanyak 64% syarikat menggunakan teknologi baharu atau platform digital, manakala 48% memperkenalkan produk dan perkhidmatan baharu.
Selain itu, 57% syarikat memberi tumpuan kepada pertumbuhan dalam pasaran tempatan dan serantau, manakala 54% pula sedang mengubah struktur kos dan meningkatkan kecekapan dalaman.
Tinjauan itu juga menunjukkan, pengurusan tunai dan aliran tunai adalah bentuk sokongan paling penting semasa gangguan perdagangan, dengan 64% syarikat menyatakannya sebagai keutamaan.
Ini diikuti oleh syarat pembayaran yang lebih baik daripada pembeli dan pembekal (56%) serta pembiayaan rantaian bekalan (55%). - DagangNews.com








