2025 tahun suram Petronas, Laporan Prospek Aktiviti beri isyarat bercampur sektor OGSE 2026 - CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

2025 tahun suram Petronas, Laporan Prospek Aktiviti beri isyarat bercampur sektor OGSE 2026 - CGSI

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 3 Feb - Aktiviti sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) di Malaysia dijangka kekal bercampur bagi tempoh 2026 hingga 2028, dengan beberapa segmen mencatat pemulihan sederhana manakala yang lain terus berdepan tekanan susulan pengurangan dan penangguhan perbelanjaan modal (capex) Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

 

Dalam nota penyelidikannya, CGS International mengekalkan penarafan Overweight terhadap sektor berkenaan.

 

Firma itu menyifatkan tahun 2025 sebagai tempoh yang suram apabila Petronas dan Kontraktor Pengaturan Petroleum (PAC) melaksanakan aktiviti capex huluan yang jauh lebih rendah berbanding unjuran asal dalam laporan Prospek Aktiviti Petronas atau Petronas Activity Outlook (PAO) 2025–2027.

 

2025 Tahun Paling Lemah bagi Capex Huluan

Menurut CGS International, hampir semua kategori kerja OGSE mencatat varians negatif antara unjuran dan pelaksanaan sebenar pada 2025, seperti yang ditunjukkan dalam laporan terkini PAO 2026–2028.

 

Keadaan itu mencerminkan kelembapan menyeluruh dalam perbelanjaan huluan minyak dan gas di Malaysia sepanjang tahun lalu, apabila banyak projek ditangguhkan atau dikurangkan skopnya berikutan keutamaan semula capex oleh Petronas.

 

Kerja Ditangguh Dijangka Dilaksana pada 2026

Bagaimanapun, prospek aktiviti OGSE dijangka bertambah baik pada 2026 apabila sebahagian kerja yang ditangguhkan dari 2025 kini dirancang untuk dilaksanakan tahun ini.

 

Antara kategori yang dijangka mencatat peningkatan aktiviti tahun ke tahun termasuk jumlah tan OCTG, panjang saluran paip, hari operasi kapal sokongan selam, kerja pengangkatan dan pemasangan transportation and installation (T&I), serta jam kerja hook-up and commissioning (HUC).

 

Segmen fabrikasi dan perkhidmatan telaga dikenal pasti sebagai kategori huluan paling positif, apabila kontrak fabrikasi yang dianugerahkan pada 2025 dinaik taraf kepada struktur yang lebih berat, dan trend tersebut dijangka berterusan pada 2026.

 

Permintaan OSV dan Pelantar Jack-Up Terus Tertekan

Sebaliknya, CGS International memberi amaran bahawa beberapa segmen utama masih menunjukkan trajektori menurun.

 

Permintaan terhadap kapal sokongan luar pesisir (OSV), termasuk bot kerja dan tongkang, dijangka mencatat penurunan dua tahun berturut-turut pada 2026 dan 2027, selain unjuran permintaan yang lebih rendah berbanding laporan PAO sebelumnya.

 

Permintaan terhadap pelantar jack-up (JU) turut dijangka merosot, dengan hanya sembilan unit diperlukan pada 2026, lebih rendah berbanding panduan 11 unit dalam PAO 2025–2027, 10 unit yang digunakan pada 2025 serta 14 unit pada 2024.

 

Walaupun aktiviti HUC dijangka meningkat sedikit pada 2026, jumlah keseluruhan bagi tempoh 2025 hingga 2027 telah disemak turun dengan ketara dalam PAO terbaharu.

 

Velesto dan Dayang Kekal Pilihan

Di sebalik prospek huluan yang tidak sekata, CGS International kekal positif terhadap beberapa pemain utama sektor ini.

 

Velesto Energy Bhd terus menjadi pilihan utama firma itu, memandangkan dua daripada lima pelantarnya telah dikunci di pasaran luar negara, selain berpotensi memperoleh kontrak jangka panjang bagi tiga pelantar lain serta pajakan berterusan bagi pelantar pihak ketiga.

 

Dayang Enterprise Holdings Bhd pula dijangka mengekalkan prestasi pendapatan yang mampan sehingga 2026, disokong oleh tahap aktiviti yang lebih tinggi di Sarawak bagi tempoh tiga tahun akan datang.

 

Selain itu, Dayang juga mendapat manfaat daripada persekitaran aliran kerja yang lebih normal selepas tahun peralihan 2025 di bawah kontrak Pan Malaysia baharu, serta potensi tambahan daripada penganugerahan kontrak baharu termasuk tender HUC dan projek penyahgunaan aset yang masih belum dianugerahkan.

 

Segmen Hiliran Lebih Cerah, Dialog Dijangka Raih Manfaat

Dalam segmen hiliran, CGS International menjangkakan aktiviti penyelenggaraan loji dan kerja plant turnaround akan meningkat ketara pada 2026 berbanding 2025.

 

Sebahagian kerja dipercayai ditangguhkan dari tahun lalu atau diawalkan dari 2027, dengan pemacu utama melibatkan aktiviti penyelenggaraan di kompleks penapisan dan petrokimia Pengerang.

 

Keadaan ini dijangka memberi manfaat kepada Dialog Group Bhd serta pemain lain dalam segmen penyelenggaraan loji.

 

CGS International turut mengenal pasti potensi kenaikan harga minyak susulan ketegangan geopolitik sebagai pemangkin penilaian semula sektor, manakala risiko utama kekal kepada kemungkinan pemulihan capex Petronas yang lebih perlahan daripada jangkaan. - DagangNews.com