117 syarikat menang bidaan dalam 6 pusingan tawaran tenaga LSS setakat 31 Ogos - PETRA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

117 syarikat menang bidaan dalam 6 pusingan tawaran tenaga LSS setakat 31 Ogos - PETRA

KUALA LUMPUR 9 Okt – Enam pusingan tawaran tenaga telah dijalankan oleh kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga di bawah Program Solar Skala Besar (LSS) setakat 31 Ogos 2025.

 

Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), sebanyak 117 syarikat telah memenangi bidaan bagi enam pusingan tersebut dengan jumlah kapasiti gabungan sebanyak 6,028 megawatt (MW).

 

 

 

 

 

 

“Projek di bawah LSS 1 hingga LSS 3 kini beroperasi sepenuhnya, manakala 93 peratus projek LSS 4 telah mula beroperasi, dengan selebihnya berada pada peringkat akhir pembangunan.

 

“Projek LSS 5 dan LSS 5+ pula masih di peringkat awal pembangunan,” kata PETRA dalam kenyataan yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.

 

Kenyataan itu merupakan jawapan kepada soalan yang dikemukakan oleh Yuneswaran Ramaraj (PH–Segamat), yang meminta senarai penuh syarikat yang berjaya dalam bidaan LSS 1 hingga LSS 5+, termasuk status pembangunan dan operasi bagi setiap projek yang diluluskan.

 

 

 

 

 

 

PETRA turut memaklumkan, kerajaan akan terus menilai keperluan untuk melaksanakan pusingan bidaan LSS yang baharu, selaras dengan aspirasi negara di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) untuk mencapai 70 peratus kapasiti tenaga boleh baharu (RE) menjelang tahun 2050.

 

“Pada masa yang sama, kerajaan juga akan memberi keutamaan kepada teknologi baharu seperti penyimpanan tenaga bateri bagi mempercepatkan peralihan tenaga negara serta memperkukuh rangkaian grid bagi menampung integrasi LSS,” katanya. - BERNAMA