KUALA LUMPUR 11 Mei - Sebanyak 117 individu telah ditahan berkaitan aktiviti pedofilia dan eksploitasi seksual kanak-kanak menerusi empat operasi utama sejak 2024 hingga 2026, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Dalam tempoh sama, pihak berkuasa turut merampas lebih 1.4 juta fail digital pornografi, termasuk sekurang-kurangnya 204,934 fail Child Sexual Abuse Material (CSAM) yang disahkan.
"Trend ini menunjukkan bahawa ancaman eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian adalah nyata, tersusun dan semakin serius," kata suruhanjaya berkenaan dalam kenyataan hari ini.
MCMC berkata, ancaman eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian yang semakin serius menuntut langkah tegas dalam melindungi keselamatan kumpulan itu termasuk memperkenalkan langkah pengesahan umur,
Katanya, langkah pengesahan dan jaminan umur bagi pengguna bawah 16 tahun bukan lagi soal pilihan, tetapi keperluan keselamatan, jika skala ancaman itu diambil kira pada masa ini.

MCMC berkata, sebanyak 101 individu telah didakwa, sekali gus menunjukkan ancaman serius jenayah seksual kanak-kanak dalam talian yang semakin membimbangkan dan tidak lagi boleh dipandang ringan.
Tambah kenyataan itu lagi, langkah pengesahan dan jaminan umur dapat menghindarkan kanak-kanak daripada kandungan pornografi ekstrem dan eksploitasi seksual dalam talian.
Selain itu, ia juga melindungi kanak-kanak daripada pemangsaan digital oleh pedofil; grooming dan manipulasi seksual; serta interaksi tidak selamat di platform media sosial.
"Pengesahan umur bertujuan memastikan platform digital mengambil tanggungjawab lebih serius dalam melindungi pengguna bawah umur daripada akses kepada kandungan dan interaksi berisiko tinggi.
"Inisiatif pengesahan umur bukan bertujuan menghukum atau menyekat kanak-kanak daripada teknologi," kata kenyataan itu lagi.
MCMC menambah, platform yang lebih bertanggungjawab dan akses digital lebih bersesuaian dengan umur akan menjadikan internet ruang yang lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga.
"Keselamatan kanak-kanak dalam talian memerlukan kerjasama semua pihak — kerajaan, platform digital, ibu bapa dan masyarakat," katanya. - DagangNews.com








