11 graduan AMLAC terima Diploma Profesional Anti-Rasuah Korporat di House of Commons UK | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

11 graduan AMLAC terima Diploma Profesional Anti-Rasuah Korporat di House of Commons UK

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 24 NovAMLAC Academy mencapai satu lagi pengiktirafan antarabangsa dalam pendidikan integriti dan anti-rasuah apabila 11 graduan kohort 2025 menerima Diploma Profesional dalam Pengurusan Anti-Rasuah Korporat (PD CAM) pada majlis konvokesyen yang berlangsung 22 November 2025 di House of Commons, Parlimen UK, Westminster, London.

 

Menurut penganjur, Lembaga Peperiksaan London (LEB), majlis itu mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap kepakaran profesional dalam bidang anti-rasuah dan anti–pengubahan wang haram, dengan Datuk Bandar Broxbourne, Datuk Bandar Patsy Spears, menyampaikan sijil kepada para graduan.

 

Presiden AMLAC Academy, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, menghadiri majlis tersebut bagi menyatakan sokongan kepada graduan dan menegaskan komitmen berterusan AMLAC dalam memperkasa standard integriti serantau dan global.

 

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata pencapaian itu membuktikan keupayaan profesional Malaysia bersaing di pentas antarabangsa.

 

AMLAC Academy

 

“Pencapaian ini menunjukkan profesional Malaysia mampu berdiri setanding dengan yang terbaik di dunia. AMLAC akan terus memperjuangkan pendidikan yang mengukuhkan integriti dan melindungi sistem kewangan kita daripada rasuah serta aktiviti haram,” katanya sambil menekankan rangkaian kerjasama akademik kukuh dan jejak global AMLAC yang semakin berkembang.

 

Sementara itu, Pakar Reka Bentuk Pendidikan dari Kuala Lumpur International Education Consortium (KLiEC), Dr Azlan Alias berkata, program PD CAM dirangka bagi memenuhi permintaan global yang kian meningkat terhadap kepakaran anti-rasuah dan AML/CFT.

 

Menurut beliau, sokongan KLiEC International membolehkan profesional Malaysia memperoleh ilmu bertaraf dunia sekali gus meningkatkan daya saing mereka di peringkat antarabangsa.

 

Bagi memastikan akses pengiktirafan yang inklusif, AMLAC menawarkan dua pilihan konvokesyen iaitu di London atau Kuala Lumpur.

 

Selain 11 graduan yang diraikan di London, selebihnya dijangka menyertai konvokesyen Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung pada 2026.

 

Program PD CAM merupakan kursus profesional enam bulan merangkumi 36 kredit, ditawarkan melalui kerjasama dengan UTM SPACE dan KLiEC, serta dianugerahkan oleh LEB.

 

Ia meliputi undang-undang anti-rasuah domestik, AML/CFT, pengurusan risiko rasuah, liabiliti korporat dan latihan industri berasaskan pengalaman pakar.

 

Permohonan bagi pengambilan 2026 kini dibuka dan boleh dibuat melalui e-mel [email protected]- DagangNews.com