Teraju, USM anjur Sarawak Week di Arab Saudi, 16 hingga 18 April 2022 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Teraju, USM anjur Sarawak Week di Arab Saudi, 16 hingga 18 April 2022

Sarawak Week akan dianjurkan di Kedai Asia Husam Waksa Foodmarket Sdn Bhd, Jeddah, Arab Saudi
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 April - Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) bersama rakan strategik, Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan program Sarawak Week di Husam Waksa Foodmarket Sdn Bhd, Jeddah, Arab Saudi, pada 16 hingga 18 April 2022.

 

Program itu bertujuan mempromosi pelbagai produk tempatan Sarawak yang premium dan berpotensi besar seperti seperti madu kelulut, lada, gula apong, ikan terubuk masin dan telurnya yang mempunyai nilai keaslian serta keunikan tersendiri. 

 

Ia adalah sebahagian daripada kerjasama strategik antara Teraju, Jabatan Perdana Menteri dan Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM melalui program Sustainable Marketing for Community (SMART Community) di bawah Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) Sarawak 2020. 

 

DPUB Sarawak 2020 merupakan sebahagian daripada inisiatif Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan Third Rolling Plan (RP3) yang bertujuan memperkukuhkan pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat melalui sistem kerjasama Quadruple Helix Model melibatkan agensi kerajaan, insitusi pendidikan, rakan industri dan orang awam. 

 

Dengan mengadaptasi model itu, ia memberi impak positif kepada usahawan Bumiputera yang mana produk komuniti keluaran tempatan telah berjaya dipasarkan bukan sahaja di peringkat domestik, malah menembusi pasaran antarabangsa seperti Arab Saudi, Jepun, China dan Amerika Syarikat.

 

Pada 16 April 2022, Sarawak Week akan dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Hj Abd. Latiff Ahmad. Hadir sama pada majlis itu adalah Konsul Jeneral Malaysia di Arab Saudi, Alauddin Mohd Nor.

 

 

teraju

 

 

Mengulas lanjut mengenai penganjuran Sarawak Week di Arab Saudi, Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Md Silmi Abd Rahman berkata, projek yang memfokuskan kepada keterangkuman wilayah dan inklusif Bumiputera B40 Sarawak memberi manfaat kepada lebih daripada 233 usahawan Bumiputera B40 di negeri itu. 

 

"Ini selaras dengan Tindakan Pembangunan Bumiputera (TPB 2030) naskah Pembangunan Bumiputera sedekad akan datang dibangunkan Teraju dan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) memfokuskan sektor keusahawanan sebagai usaha meningkatkan taraf hidup rakyat secara amnya, sekali gus memanfaatkan ekosistem keusahawanan yang ditawarkan kerajaan sebaiknya," katanya.

 

Pengarah Jaringan Komuniti BJIM, Syed Yusof Syed Kechik pula berkata, Kedai Asia yang dibangunkan oleh Husam Waksa Sdn Bhd telah dipilih sebagai rakan strategik di Jeddah bagi melancarkan lagi penganjuran Sarawak Week. 

 

 

teraju

 

 

"Kedai Asia merupakan entiti pertama perniagaan Malaysia yang berjaya membuka ruang perusahaan runcit di Menara Jam Abraj Al-Bait di Mekah. Pemilihan rakan strategik ini dibuat berdasarkan pencapaian cemerlang Kedai Asia yang telah menerima anugerah Export Award daripada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia pada tahun 2017 dan anugerah Social Enterprise oleh Perdana Menteri. 

 

"Kedai Asia merupakan kedai runcit milikan pertama anak Malaysia di Arab Saudi dan Negara Teluk bukan sahaja mempunyai kedai secara fizikal, malah turut menjalankan perniagaan secara dalam talian melalui aplikasi pintar. Selain itu, margin penjualan produk Sarawak yang ditempatkan di Kedai Asia telah meningkat sebanyak 68.1% kepada aliran pendapatan semasa Husam Waksa Sdn Bhd," katanya. - DagangNews.com