Talbotiq, Leadernomics kongsi cabaran pelaksanaan revolusi digital sumber manusia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Talbotiq, Leadernomics kongsi cabaran pelaksanaan revolusi digital sumber manusia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Dis - Talbotiq Technologies (Talbotiq) dan Leaderonomics bekerjasama mengumpulkan para pemimpin sumber manusia (HR) dalam sebuah acara pembelajaran bagi berkongsi mengenai pelaksanaan revolusi digital dalam HR.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Talbotiq, Akhil Gupta berkata, industri HR sedang mengalami perubahan yang ketara, hasil daripada kemajuan teknologi. 

 

Beliau berkata, walaupun banyak peluang yang hadir disebabkan oleh teknologi baru, masih terdapat sedikit kegelisahan berkait dengan perubahan yang akan dibawakan teknologi tersebut. 

 

"Acara ini berjaya mengumpulkan komuniti sumber manusia bersama bagi membincangkan kerisauan ini, serta pelbagai lagi isu, dalam sebuah persekitaran yang santai," katanya.

 

Terdahulu, sejumlah 20 pemimpin sumber manusia daripada pelbagai industri telah menghadiri acara tersebut untuk membincangkan trend dan pembangunan terbaharu dalam sumber manusia yang dipacu oleh pandemik serta kemajuan teknologi.

 

Majlis tersebut turut menjadi sebuah sesi jaringan dan perkongsian yang berjaya, dan para jemputan telah berpeluang untuk mendapat kefahaman yang lebih mendalam mengenai revolusi digital sumber manusia yang sedang berlaku hari ini. 

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Leaderonomics, Roshan Thiran berkata, pandemik COVID-19 telah mengubah bagaimana rakyat hidup, bekerja, dan beristirehat dalam pelbagai cara yang tidak pernah disaksikan sebelum ini. 

 

 

hr

 

 

Katanya, teknologi yang inovatif telah membentuk semula dan menggendalakan fungsi tradisional sumber manusia, seterusnya memerlukan para pengamal untuk menjadi lebih tangkas dan bertindak balas bagi menyokong keperluan para pekerja serta syarikat-syarikat.

 

"Acara ini diatur untuk memperkenalkan komuniti sumber manusia dengan Akhil, yang telah dapat berkongsi bagaimana organisasi beliau menyokong dan menangani revolusi digital sumber manusia," katanya.

 

 

hr

 

 

Dalam pada itu, budaya organisasi sedang melalui perubahan yang pesat pada zaman digital selepas pandemik. 

 

Hasilnya, banyak organisasi kini menilai semula amalan-amalan perniagaan tradisional dan mula menyesuaikan diri dengan landskap digital yang sentiasa berubah disebabkan teknologi digital. 

 

Acara jaringan tersebut telah menerokai bagaimana digitalisasi sedang membentuk semula budaya organisasi, daripada penggunaan teknologi yang inovatif kepada bagaimana ia memberi kesan terhadap hubungan dan proses membuat keputusan. - DagangNews.com