Takaful Malaysia sumbang peralatan bakeri kepada rumah perlindungan belia Raudhatus Sakinah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Takaful Malaysia sumbang peralatan bakeri kepada rumah perlindungan belia Raudhatus Sakinah

Mohamed Sabri Ramli (kiri) melihat proses pembuatan bakeri di rumah perlindungan dan pusat pemulihan belia, Raudhatus Sakinah. 
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Sept - Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd melalui agenda kelestarian pembangunan bangsa, menyediakan peralatan pembuatan bakeri untuk rumah perlindungan dan pusat pemulihan belia, Raudhatus Sakinah. 

 

Ini adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyediakan kemahiran praktikal dan semangat kemasyarakatan kepada penghuni tersebut. 

 

Kelestarian jangka panjang program amal ini bertujuan membina kemahiran berharga dan mewujudkan persekitaran positif dan memupuk serta membantu mereka meningkatkan keyakinan dan kejayaan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Malaysia Am, Mohamed Sabri Ramli berkata, peralatan pembuatan bakeri yang disediakan untuk belia berkenaan adalah inisiatif terpuji dalam memberikan kemahiran praktikal dengan menggalakkan kreativiti dan keusahawanan dalam kalangan penghuni. 

 

Katanya, pembuatan bakeri ini mampu memperkasakan belia rumah perlindungan dengan memberikan mereka alat dan pengetahuan yang memupuk sifat sara diri dan berdikari serta peluang mempelajari kemahiran berguna untuk pekerjaan masa hadapan. 

 

"Kami bekerjasama rapat dengan pengurusan Raudhatus Sakinah bagi menentukan keperluan khusus mereka untuk fasiliti pembuatan bakeri, dan penghuni turut mempelajari kemahiran bakeri dan menjual hasilnya bagi menjana pendapatan menampung operasi harian tempat perlindungan tersebut," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Mohamed Sabri berkata melalui program amal ini, ia juga memberi akses kepada penghuni terhadap sumber pembuatan bakeri yang sesuai, meningkatkan kemahiran hidup dan kelestarian diri serta berusaha ke arah masa depan yang terjamin dan berdikari.

 

 

takaful

 

 

"Kami akan memastikan peralatan pembuatan bakeri ini mematuhi peraturan keselamatan, termasuk pengendalian makanan yang betul, kebersihan dan pengawasan pihak pengurusan. 

 

"Kami amat berbesar hati kerana inisiatif ini membangkitkan kreativiti dan eksplorasi penghuni dalam pembuatan bakeri. Raudhatus Sakinah mendapat sambutan yang menggalakkan serta tempahan produk bakeri pelbagai pihak dan kami sememangnya gembira menerima maklum balas positif daripada inisiatif ini," katanya.

 

Katanya, program ini mencerminkan komitmen pihaknya yang teguh untuk memberi impak positif kepada komuniti dengan membantu mereka yang memerlukan dan memenuhi tanggungjawab kepada penerima asnaf yang layak, sejajar dengan nilai sebagai sebuah institusi kewangan Islam bertanggungjawab dan prihatin. 

 

 

takaful

 

 

"Ia adalah mengenai impak yang dicipta, perubahan yang dilakukan dalam kehidupan individu dan komuniti serta warisan yang ditinggalkan untuk generasi masa depan.

 

"Bersandarkan ini, kami mengorak langkah mengukuhkan usaha berasaskan komuniti dan memacu perubahan bermakna untuk legasi positif yang berkekalan," katanya. - DagangNews.com