Takaful Malaysia, Agrobank jalin kerjasama strategik bancatakaful | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Takaful Malaysia, Agrobank jalin kerjasama strategik bancatakaful

KUALA LUMPUR 9 Dis - Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd. melalui anak syarikatnya, Syarikat Takaful Malaysia Am Bhd. memeterai perjanjian kerjasama strategik bancatakaful bersama Agrobank.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Takaful Malaysia Keluarga, Nor Azman Zainal berkata, sebagai perintis dalam industri takaful, syarikat bersedia untuk peluang membawa penyelesaian takaful kami untuk memenuhi keperluan perlindungan pelanggan Agrobank.

 

Katanya, kerjasama itu akan memberikan pelanggan Agrobank akses kepada jaminan kewangan yang lebih besar melalui rangkaian produk takaful keluarga yang komprehensif dan mampu milik daripada berkaitan kredit kepada nasihat dan rangkaian luas produk takaful am.

 

"Kerjasama kami dengan Agrobank adalah tepat pada masanya untuk mengukuhkan lagi portfolio banktakaful kami sebagai salah satu pemacu perniagaan utama kami dengan mengenal pasti peluang pasaran untuk mengekalkan kedudukan kukuh kami dalam industri takaful.

 

"Kami juga memperuntukkan RM1 juta setiap tahun sepanjang kerjasama bancatakaful ini untuk pelanggan Agrobank yang merupakan asnaf atau penerima zakat, selaras dengan falsafah korporat kami untuk memperbaiki kehidupan dan menyumbang ke arah masyarakat penyayang," katanya dalam kenyataan di Bursa Malaysia hari ini.
 

Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama strategik itu disaksikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu.

 

Kerjasama strategik selama lima tahun mulai 1 Disember 2022 hingga 31 Disember 2027 itu akan l memberi Takaful Malaysia akses kepada pangkalan pelanggan, rangkaian cawangan dan tenaga jualan Agrobank.

 

Pada masa sama, Agrobank akan dapat memperluaskan rangkaian produk takaful Malaysia untuk memenuhi keperluan perlindungan dan nilai yang lebih tinggi untuk pelanggannya.

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, perjanjian itu menyediakan penyelesaian takaful kepada semua pelanggan Agrobank, dengan sasaran untuk memperkenalkan sekurang-kurangnya dua produk takaful setahun (pelan perlindungan).

 

Katanya, produk itu direka dengan teliti untuk memenuhi keperluan komuniti perniagaan pertanian sebagai petani (penternak tanaman dan ternakan) dan nelayan yang tidak menjadi tumpuan pemain industri.

 

"Kerjasama ini telah membuka akses yang lebih besar kepada Agrobank untuk mengubah dan mencapai pencapaian baharu di bawah segmen takaful untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada kumpulan sasaran pertanian yang diberi mandat termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta agensi berkaitan," katanya. - DagangNews.com