Tabung Haji sumbang 40 van serbaguna bernilai RM5.4 juta kepada masjid, surau dan pusat tahfiz | DagangNews Skip to main content

Tabung Haji sumbang 40 van serbaguna bernilai RM5.4 juta kepada masjid, surau dan pusat tahfiz

Datuk Idris Ahmad (tiga dari kiri) ketika merasmikan Majlis Serahan Perdana Program Mobiliti TH di Dataran Kompleks Islam, Putrajaya. 
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Jun - Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini telah menyumbang sebanyak 40 buah kenderaan (van serbaguna) bernilai RM5.4 juta kepada masjid, surau, pusat tahfiz serta rumah kebajikan terpilih menerusi Program Mobiliti TH di Majlis Serahan Perdana Program Mobiliti TH di Dataran Kompleks Islam, Putrajaya. 

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, sumbangan kenderaan dwi-fungsi Program Mobiliti TH asalnya bertujuan untuk memenuhi tuntutan fardhu kifayah dalam pengurusan jenazah terutama kepada pihak masjid yang memerlukan di luar bandar. 

 

“Melalui Program Mobiliti ini, TH menyumbang kenderaan dwi-fungsi yang boleh digunakan untuk pengurusan jenazah dan juga dijadikan sebagai van penumbang untuk kegunaan ahli kariah ketika melakukan aktiviti bermanfaat," katanya.

 

Program Mobiliti TH juga merupakan salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan dalam Aspirasi Keluarga Malaysia untuk pencapaian enam bulan pertama tahun ini.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin pula, sejak diperkenalkan pada tahun 2016, TH telah menyumbang lebih 96 buah kenderaan kepada masjid, surau, pusat tahfiz serta rumah kebajikan terpilih di seluruh negara untuk manfaat lebih 300,000 ahli kariah. 

 

“Pada awalnya, sumbangan dibuat kepada masjid-masjid yang memerlukan kenderaan untuk pengurusan jenazah dan aktiviti ahli kariah setempat. 

 

"Namun bermula tahun 2021, program ini telah diperluaskan meliputi badan-badan kebajikan seperti rumah anak yatim, rumah orang tua dan pusat penjagaan Orang Kurang Upaya (OKU) kerana terdapat banyak badan-badan kebajikan di Malaysia yang tidak mempunyai pengangkutan yang selamat dan sesuai untuk para penghuni mereka menjalankan aktiviti harian," katanya. 

 

 

th

 

 

th

 

 

Turut hadir pada majlis tersebut adalah wakil pengurusan TH, ahli jawatankuasa zakat wakalah TH, dan para wakil pertubuhan kebajikan dan persatuan seluruh negara. - DagangNews.com