KUALA LUMPUR 11 Okt - T7 Global Bhd. menerusi anak syarikatnya, T7 Intelligent Resources Sdn. Bhd. (T7IR) memperoleh kontrak selama lima tahun daripada ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc.
Kontrak itu yang bermula 5 September 2022 hingga 4 September 2027 membabitkan penyediaan perkhidmatan bagi kakitangan teknikal dan am, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tempoh lima tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif T7 Global, Tan Kay Zhuin berkata, ia adalah kontrak tenaga kerja ketiga yang diumumkan kumpulan bagi tahun ini dan berharap momentum itu akan berterusan.
"Kami akan terus meningkatkan standard untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan pada masa hadapan," katanya.
T7IR secara dasarnya terlibat dalam dalam pengambilan dan penyelesaian pekerja untuk tenaga, teknologi komunikasi maklumat (ICT), perbankan, teknologi kewangan dan industri pembinaan.
Syarikat mempunyai visi untuk menggalakkan pengambilan dan pembangunan bakat Malaysia dalam industri ICT dan ruang digital dalam industri minyak & gas serta tenaga baharu. - DagangNews.com








