Syarat ketat bank masih kekal cabaran dalam sektor hartanah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Syarat ketat bank masih kekal cabaran dalam sektor hartanah

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 6 April -  Syarat ketat yang dikenakan institusi perbankan dalam pembelian hartanah akan terus memberi cabaran kepada syarikat pemaju meskipun prospek sektor hartanah dijangka kembali pulih.

 

MIDF Research berkata, ini dapat dilihat apabila jumlah pembiayaan diluluskan berbanding permohonan bagi pembelian hartanah berlegar di bawah 40% pada Februari 2022. 

 

Berdasarkan data yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM), jumlah permohonan pembiayaan pembelian hartanah meningkat kepada RM28.6% pada bulan tersebut selepas meningkat 5.4% pada Januari 2022 manakala pembiayaan diluluskan adalah 9% lebih tinggi kepada RM11.3 bilion. 

 

Bagi tempoh 2 bulan pertama, jumlah pembiayaan diluluskan turut meningkat 20.4% kepada RM26 bilion, sekali gus mencerminkan prospek jualan hartanah baharu yang lebih baik bagi 2022. 

 

"Peningkatan dalam pembiayaan hartanah adalah sejajar dengan jangkaan kami berdasarkan pemulihan kecil dalam permintaan hartanah apabila aktiviti ekonomi kembali normal.

 

"Tetapi, jumlah permohonan bagi Februari adalah lebih rendah (17% bulan ke bulan) kerana tempohnya yang singkat. 

 

"Secara kumulatif, jumlah pembiayaan yang dipohon untuk 2 bulan pertama 2022 adalah lebih tinggi pada RM63.2 bilion, menunjukkan permintaan untuk hartanah semakin pulih," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor hartanah bagi tahun ini. 

 

Ia menjangkakan syarikat pemaju akan merekodkan jualan yang lebih baik pada 2022 memandangkan pembelian hartanah kembali pulih sejajar dengan peningkatan aktiviti ekonomi.

 

"Ini sepatutnya mengimbangi kesan yang timbul apabila berakhirnya Kempen Pemilikan Rumah (HOC) pada 31 Disember lalu," jelasnya.

 

Malah, MIDF Research juga berpendapat indeks harga perumahan (HPI) akan mengalami pemulihan tahun ini setelah melemah pada suku ketiga 2021 kepada 202.0 berbanding 202.5 pada suku sebelumnya. 

 

"Sementara itu, HPI awal pada suku keempat 2021 sebanyak 200.4 menunjukkan bahawa HPI terus menurun apabila pasaran hartanah dibelenggu oleh permintaan yang lebih lemah untuk hartanah di tengah-tengah pandemik COVID-19," jelasnya. 

 

Bagi sektor tersebut, firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap Mah Sing Group Bhd. dan IOI Properties Group Bhd. dengan harga sasaran masing-masing sebanyak 80 sen dan RM1.29 sesaham. - DagangNews.com