KUALA LUMPUR 11 Okt - Fitch Solutions Country Risk and Industry Research menjangkakan defisit fiskal Malaysia pada 2022 akan lebih melebar berbanding semakan semula kerajaan berikutan hasil dan unjuran pertumbuhan ekonomi yang lebih rendah.
Bagaimanapun, agensi penarafan antarabangsa itu mengekalkan unjuran defisit fiskal daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun ini pada 6.1% manakala 5.6% bagi 2023.
"Pada 2023, ramalan fiskal kami adalah menyamai unjuran dibuat kerajaan, tetapi kami perhatikan bahawa risiko kepada tinjauan fiskal Malaysia diheret turun.
"Ini memandangkan kerajaan mungkin mendapati sukar untuk mengurangkan subsidi dan perbelanjaan sosial memandangkan pilihan raya umum akan datang," katanya seperti dilapor The Edge hari ini.
Ia mengekalkan unjurannya defisit fiskalnya bagi 2022 dan 2023 yang mencerminkan jangkaan kekurangan bajet akan datang lebih luas daripada unjuran terbaharu kerajaan untuk 2022, tetapi lebih kurang sama untuk 2023.
Menurutnya, pada 7 Oktober lalu, Malaysia membentangkan Bajet 2023 dengan peruntukan sebanyak RM372.3 bilion, rendah sedikit berbanding anggaran yang disemak semula sebanyak RM385.3 bilion pada 2022.
Dengan hasil yang diunjurkan berjumlah RM272.6 bilion pada 2023, kerajaan dijangka mencatatkan defisit bajet sebanyak RM99.1 bilion, bersamaan 5.5% daripada KDNK, lebih kecil daripada unjuran defisit yang disemak sebanyak 5.8% daripada KDNK pada tahun ini.
“Pada 2022, kami menjangkakan defisit bajet akan meningkat sedikit daripada unjuran semakan kerajaan sebanyak 5.8% disebabkan hasil yang lebih rendah dan ramalan pertumbuhan ekonomi," jelasnya.
Bagi tempoh Januari-Ogos, Kerajaan Persekutuan mengumpul hasil sebanyak RM173.3 bilion, hanya berjumlah 60.8% daripada unjuran semakan 2022 sebanyak RM285.2 bilion.
Agensi itu berkata, ia mencerminkan jangkaan kutipan hasil kerajaan akan meningkat bagi baki tahun ini.
"Sebaliknya, kami meramalkan pendapatan hanya mencecah RM252.5 bilion untuk 2022 memandangkan harga komoditi telah melonjak pada Jun,” katanya. - DagangNews.com








