TNB belanja lebih RM60 juta terus perkasakan hoki negara, meterai tajaan baharu MHC hingga 2030 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TNB belanja lebih RM60 juta terus perkasakan hoki negara, meterai tajaan baharu MHC hingga 2030

SHAMSUL Ahmad (tiga dari kanan) bersalaman dengan Subahan Kamal sebagai simbolik pada majlis menandatangani perjanjian penajaan antara TNB dan KHM, disaksikan Mohammed Taufiq Johari.
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 12 MeiTenaga Nasional Berhad (TNB) mengukuhkan peranan dalam pembangunan hoki negara apabila terus menyambung kontrak penajaan baharu bersama Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).


Kerjasama strategik yang sudah terjalin sejak 2006 itu menyaksikan TNB menyalurkan lebih RM60 juta  dari 2026 hingga 2030 dalam menyokong ekosistem termasuk program akar umbi, dan liga domestik.


Majlis pemeteraian perjanjian tajaan tersebut berlangsung di Pusat Konvensyen Leo Moggie (LMCC), Bangsar dan turut disaksikan sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Ts Shamsul Ahmad berkata, sokongan berterusan syarikat utiliti itu terhadap hoki bukan sekadar tajaan korporat tetapi pelaburan jangka panjang.

 

TNB MHC
SEJAK tahun 2006, TNB menyalurkan lebih RM60 juta bagi memperkasa pembangunan hoki negara merangkumi sokongan terhadap liga tempatan, kejohanan utama, pembangunan bakat muda serta persiapan pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa.



“Di TNB, kami percaya sukan memainkan peranan penting dalam membentuk disiplin, semangat berpasukan dan jati diri generasi muda, serta proses pembangunan belia dan masa depan sukan negara,” katanya.


Bagi tahun lalu sahaja, jumlah tajaan disalurkan TNB mencecah lebih RM7.6 juta melibatkan pelbagai program pembangunan termasuk kejohanan antarabangsa, latihan pemain muda serta akar umbi.


Sementara itu, Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, komitmen konsisten TNB sejak hampir dua dekad lalu berjaya memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan pembangunan hoki Malaysia.


Menurut beliau, antara pencapaian terbesar hasil kerjasama tersebut ialah program akar umbi TNB Thunderbolts yang sudah berjaya melahirkan lebih 100 pemain hoki kebangsaan dan senior negara.

 

TNB MHC
TNB komited memainkan peranan proaktif dalam memperkukuh ekosistem hoki negara bagi melahirkan lebih ramai bakat muda berpotensi yang mampu mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.



"Selain itu, program Sekolah Angkat Hoki TNB kini melibatkan sejumlah tujuh buah sekolah, termasuk Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail di Johor dan Sekolah Sukan Bukit Jalil di ibu negara," katanya.


Melalui program tersebut, pelajar menerima bantuan peralatan lengkap, latihan secara berstruktur serta pendedahan pertandingan yang kompetitif bagi memperkukuh pembangunan bakat hoki negara.


Dalam pada itu, TNB berkata, inisiatif tersebut juga selari agenda syarikat khususnya aspek pembangunan sosial dan komuniti selain menyokong aspirasi Visi Sukan Negara 2030. - DagangNews.com