KUALA LUMPUR 11 April - Stok minyak sawit mentah (MSM) Malaysia susut 2.6% kepada 764,079 tan metrik pada Mac 2022 daripada 784,488 tan metrik pada bulan sebelumnya.
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkata, jumlah inventori minyak sawit susut 2.99% bulan ke bulan kepada 1.47 juta tan metrik daripada 1.51 juta tan metrik.
"Inventori minyak sawit yang diproses turun 3.41% kepada 708,731 tan metrik daripada 733,750 tan metrik pada Februari 2022," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada bulan tersebut, pengeluaran MSM meningkat 24.07% kepada 1.41 juta tan metrik berbanding 1.13 juta tan metrik pada Februari 2022.
Pengeluaran isirung sawit pula meningkat 26.89% bulan ke bulan kepada 359,165 tan metrik berbanding 283,046 tan metrik, dan pengeluaran minyak isirung sawit mentah naik 26.86% kepada 160,693 tan metrik daripada 126,669 tan metrik sebelumnya.
Menurut MPOB, eksport minyak sawit meningkat 14.14% kepada 1.26 juta tan metrik pada Mac 2022 daripada 1.10 juta tan metrik pada bulan sebelumnya.
Eksport minyak isirung sawit pula menokok 22.04% kepada 69,221 tan metrik daripada 56,720 tan metrik sebelumnya.
Eksport oleokimia mengukuh 3.22% kepada 235,625 tan metrik daripada 228,272 tan metrik pada bulan sebelumnya, sementara eksport biodiesel susut 64.6% kepada 15,853 tan metrik daripada 44,777 tan metrik sebelumnya. - DagangNews.com








