KUALA LUMPUR 15 Sept - Standard Chartered Malaysia telah menyumbang RM6.7 juta menerusi Futuremakes, yang telah memberi manfaat kepada hampir 10,000 belia tempatan antara 2018 dan 2023.
Futuremakers ialah inisiatif global oleh Standard Chartered yang bertujuan untuk menangani ketidaksamaan dan menggalakkan keterangkuman ekonomi kepada belia yang kurang mendapat perkhidmatan di bawah umur 35 tahun.
Sejajar dengan agenda Malaysia untuk menyokong pembangunan belia negara dengan mengatasi pengangguran, pendidikan dan pembangunan kemahiran, Standard Chartered bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran belia melalui program dan projek menumpukan kepada penyediaan kemahiran dan pendidikan, tetapi juga menggunakan pendekatan bersepadu.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menekankan melabur dalam program dan inisiatif yang akan mendorong belia ke hadapan.
“Dengan kemahiran dan alatan yang sesuai, generasi belia masa kini kita akan lebih bersedia untuk menghadapi pelbagai isu sosial, di samping menerima landskap persekitaran dan trend kerja kita yang sentiasa berubah.
“Futuremakers telah menjadi sebahagian daripada inisiatif ini secara aktif untuk memperkasakan generasi muda dan meningkatkan kesediaan mereka untuk menyertai tenaga kerja, serta menyemai celik kewangan dan pengetahuan ke dalam campuran.
“Melalui program bersepadu ini, kita boleh secara kolektif memerangi pengangguran dalam kalangan belia dan memberi inspirasi kepada mereka agar memanfaatkan kekuatan mereka untuk mencapai minat mereka,” ujar beliau.
Melalui kerjasama dan projek strategik, Futuremakers telah melancarkan beberapa inisiatif, seperti Digital Entrepreneurs (DE) X Futuremakers, Young Futuremakers, Goal dan Transformasi, Inovasi dan Pecutan Usahawan Sosial (Setia) untuk melengkapkan dan menyediakan belia Malaysia dengan kemahiran dan pengetahuan penting bagi mendapatkan pekerjaan.
Pengerusi Kumpulan Standard Chartered, José Viñals mengulas setiap orang – tanpa mengira jantina dan latar belakang – harus mempunyai akses yang sama kepada pendidikan dan peluang pekerjaan, di mana Futuremakers telah berjaya mencapai hampir sejuta belia di seluruh dunia melalui tonggak sasaran pendidikan, keusahawanan dan kebolehkerjaan bank itu.
“Memandangkan kebanyakan pasaran utama bank masih bergelut untuk mendapatkan akses kepada peluang dan pendidikan yang bermakna, kami amat percaya bahawa dengan memanfaatkan rangkaian dan kepakaran global kami, Standard Chartered mempunyai kedudukan yang unik untuk membuat perubahan dalam kehidupan ramai belia yang kurang mendapat perkhidmatan.
“Malaysia telah menyumbang secara besar-besaran kepada cita-cita kemampanan jangka panjang kami untuk meningkatkan penyertaan dan saya memuji hala tuju negara dalam menyokong inisiatif dan program secara berterusan yang memperkasa dan menyokong belia memperoleh keterangkuman dan kemerdekaan kewangan,” ujar beliau
Maklumat lanjut mengenai Futuremakers, boleh dilayari di laman web https://www.sc.com/en/features/futuremakersby-standard-chartered/. - DagangNews.com







