KUALA LUMPUR 21 Feb - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) akan menawarkan pinjaman sehingga RM10 ribu pada kadar faedah 0% dengan keutamaan diberi kepada peniaga sektor informal dengan saiz dana program berjumlah RM200 juta.
Beliau berkata, ia antara inisiatif ditawarkan menerusi Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia dengan nilai keseluruhan berjumlah RM40 bilion yang akan memperbanyakkan akses pembiayaan kepada sektor perniagaan, terutamanya untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan sektor informal.
Jelasnya, program tersebut merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti untuk dimanfaatkan oleh setiap golongan usahawan.
"Bagi perniagaan mikro dan kecil, kerajaan peka akan keperluan akses kepada pembiayaan dengan kadar faedah yang rendah.
"Bagi usahawan agro-makanan pula, skim mikro kredit oleh Agrobank akan menawarkan pinjaman sehingga RM75 ribu pada kadar 0% untuk enam bulan pertama berserta kemudahan moratorium sehingga enam bulan," katanya ketika berucap merasmikan Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia di sini, hari ini.
Yang turut hadir Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.
Ismail Sabri berkata, semasa lawatannya ke ladang Farm Fresh di Muadzam Shah baru-baru ini, beliau sempat berinteraksi dengan usahawan kecil dan besar, seterusnya memberi gambaran jelas akan peranan mereka dalam menyediakan peluang pekerjaan, merapatkan jurang pendapatan dan menangani cabaran jangka masa panjang seperti sekuriti makanan.
Beliau percaya sumbangan dan peranan PMKS tempatan di seluruh negara amat penting dalam memulihkan ekonomi negara.

"Justeru, Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan keupayaan sektor perniagaan terpelihara, terutamanya bagi PMKS yang terjejas ekoran pandemik COVID-19," katanya.
Katanya, Majlis Perasmian Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia hari ini merupakan petanda yang jelas komitmen Kerajaan dalam memastikan ekosistem PMKS terus berdaya saing.
"Setelah hampir dua tahun berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19, tahun ini bukan sahaja akan menjadi tahun pemulihan, malah ia juga akan menjadi tahun untuk menyusun semula, atau reform.
"Kepada komuniti PMKS, saya berharap agar Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia akan menjadi pemangkin kepada pemulihan dan penyusunan semula perniagaan tuan-tuan dan puan-puan sekalian," katanya.
BACA JUGA: Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia bantu bina semula daya saing PMKS - PM
Kerajaan sediakan RM40 bilion bagi jayakan Program Semarak Niaga - Perdana Menteri
Beliau menyeru seluruh Keluarga Malaysia iaitu kerajaan, sektor perbankan dan komuniti perniagaan dalam menyahut cabaran jangka masa panjang negara dan merealisasikan aspirasi akan sebuah Malaysia yang “Makmur, Inklusif dan Mampan”. - DagangNews.com








