Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 23 Nov - SP Setia Berhad mencatatkan prestasi jualan sebanyak RM3.38 bilion bagi suku ketiga tahun kewangan 2021 berakhir 30 September 2021 dengan projek tempatan menyumbang RM2.66 bilion manakala baki RM728 juta disumbangkan oleh projek antarabangsanya.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Kumpulan itu berkata, ia berjaya merekodkan hasil sebanyak RM2.73 bilion dan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM353.7 juta dalam tiga suku yang dikaji.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia, kedua-dua hasil dan PBT untuk sembilan bulan pertama tahun ini adalah lebih tinggi daripada tempoh yang sama pada tahun sebelumnya, terutamanya didorong oleh pengiktirafan hasil progresif daripada kadar pengambilan kukuh yang dicapai.
"Kami berbangga dengan rekod jualan yang dicapai oleh Kumpulan untuk tiga suku pertama tahun ini walaupun terdapat ketidaktentuan dalam prospek yang disebabkan oleh pandemik COVID-19.
"Ini tidak mungkin berlaku sekiranya Team Setia tidak komited dan bersatu padu dalam mengejar sasaran jualan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.
Jualan yang kukuh bagi stok siap dibinanya membentuk sebahagian daripada jualan RM3.38 bilion yang dicapai, adalah RM585 juta, lebih tinggi daripada yang dicapai untuk tempoh yang sama tahun lalu sebanyak RM462 juta, satu pencapaian yang membanggakan walaupun menghadapi cabaran pasaran.
Ujarnya, dari segi pelancaran, Kumpulan telah melancarkan projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM1.5 bilion yang terdiri daripada rumah teres bertanah dan rumah berkembar dalam sembilan bulan pertama TK2021.
"Pelancaran ketara dirancang di perbandaran sedia ada di Setia Alam, Setia EcoHill, Setia EcoHill 2, Setia Alamsari, Setia Bayuemas, Bandar Kinrara dan Setia Eco Park di wiliayah tengah, Taman Industri Jaya dan Bukit Indah in the wilayah selatan, Setia Greens dan Setia Fontaines di wilayah utara dan Eco Lakes di Vietnam.
"Kami yakin dapat mencapai sasaran jualan untuk TK2021 sambil kekal teguh dalam inisiatif 'de-gearing' kami untuk mengurangkan pinjaman dan mengoptimumkan struktur modal untuk mengukuhkan platform dalam mengejar pertumbuhan yang mampan," katanya.
Sehingga 30 September 2021, Kumpulan itu mempunyai 48 projek yang sedang dijalankan, dengan baki bank tanah seluas 7,334 ekar dengan GDV bernilai RM124.6 bilion dan jumlah jualan belum dibilkan sebanyak RM9.84 bilion. -DagangNews.com








