KUALA LUMPUR 13 April - Kadar dasar semalaman (OPR) di Malaysia dijangka meningkat sebanyak 50 mata asas (bps) atau kurang daripada itu tahun ini disebabkan impak inflasi ekoran krisis Rusia-Ukraine selain tekanan aliran keluar modal, dalam keadaan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) cenderung kepada kadar faedah yang lebih tinggi, demikian menurut S&P Global Ratings (S&P).
Ketua Ahli Ekonomi S&P Asia-Pasifik, Louis Kuijs berkata, inflasi yang lebih tinggi dan peningkatan kadar faedah AS amat membebani ekonomi Asia Pasifik.
Katanya, berdasarkan persekitaran semasa, S&P menjangkakan di negara-negara yang telah mengalami inflasi melebihi sasaran atau yang mudah terjejas dengan aliran keluar modal secara besar-besaran, bank-bank pusatnya akan terpaksa menaikkan kadar faedah.
"Bagaimanapun, sama ada inflasi atau aliran keluar modal secara besar-besaran menjadi isu utama, bank-bank pusat akan memberi tumpuan kepada pertumbuhan.
"Ini akan mendorong penetapan dasar mengikut 3 tahap di seluruh Asia Pasifik," katanya dalam nota kajian ekonomi bertajuk ‘Kadar Faedah Akan Meningkat di Seluruh Asia Pasifik’ yang dikeluarkan hari ini seperti dilapor Bernama.
Mengulas lebih lanjut, beliau berkata, banyak ekonomi berkemungkinan melaksanakan kadar yang jauh lebih tinggi, ada yang mungkin menaikkan kadar secara sederhana, manakala selebihnya (China dan Jepun) mungkin tidak akan mengetatkannya sama sekali.
Menurut Kuijs, pembuat dasar monetari di Asia Pasifik akan menghadapi keseimbangan yang sukar bagi 2022.
Ini memandangkan krisis Rusia-Ukraine menambah lagi impak inflasi global, manakala kecenderungan meningkat terhadap kadar faedah tinggi akan mengetatkan dasar Fed AS dan telah memberi petunjuk bahawa ia akan mengurangkan lembaran imbangannya dengan ketara.
"Semua ini memberi tekanan kepada bank-bank pusat di rantau ini untuk menaikkan kadar dasar bagi mengekang unjuran inflasi, mengekalkan kredibiliti, menyokong mata wang negara atau mengelakkan ketidakstabilan kewangan.
“Namun, memandangkan kesan krisis itu dan peralihan Fed AS memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi, kami menjangkakan beberapa bank pusat akan mengetatkan sedikit mungkin, atau tidak sama sekali,” katanya. - DagangNews.com








